May 10, 2016

(AMARGLOBAL) WEEKLY WRAP UP (2/5/2016 - 9/5/2016)

DALAM NEGARA

MAYAT KEENAM MANGSA TRAGEDI HELIKOPTER SARAWAK DITEMUI












KUCHING: Mayat mangsa keenam nahas helikopter RPC 6828 yang terhempas berhampiran Sungai Batang Lupar di Sebuyau Khamis lalu berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat SAR kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Mohammad Sabtu Osman berkata jasad keenam tersebut yang dipercayai juruterbang helikopter warga Filipina, Rudolf Rex Ragas hanya akan disahkan identitinya oleh pasukan forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Pada pukul 10.15 pagi tadi, pasukan SAR di lokasi telah menjumpai satu jasad mangsa dan mayat tersebut telah sampai ke pusat kawalan operasi di Lingga pada 11.05 pagi tadi.

"Bagaimanapun, selepas ujian forensik saya akan sahkan identiti mangsa tersebut walaupun semua sedia tahu yang masih hilang adalah juruterbang (Rudolf Rex Ragas).
Jasad mangsa akan diterbangkan dari Lingga ke sini sebelum dibawa ke HUS bagi proses pengecaman dan juga identifikasi jasad mangsa.

Menurut Mohammad Sabtu, jasad mangsa keenam itu dijumpai terapung 5.5 kilometer dari Jeti Feri Triso, Lingga.

"Maklumat daripada pasukan SAR di lokasi, pasukan Polis Marin yang membuat rondaan menjumpai jasad mangsa terletak kira-kira 5.5 kilometer daripada (jeti) Feri Triso, 1 kilometer daripada pantai dan mangsa dijumpai terapung," katanya.

Menurutnya lagi, walaupun keenam-enam jasad mangsa nahas tersebut telah dijumpai, namun operasi mencari rangka utama badan helikopter tersebut akan diteruskan dengan bantuan alatan teknologi seperti sistem sonar milik Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

KUALA KRAI CATAT SUHU MAKSIMUM 37.3 DARJAH CELCIUS














KUALA LUMPUR: Kuala Krai, Kelantan merekodkan bacaan suhu tertinggi dalam negara 37.3 darjah Celsius setakat 4 petang, pada Isnin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata kawasan-kawasan tengah Semenanjung Malaysia yang lain juga turut mencatatkan bacaan suhu maksimum iaitu melebihi 35 darjah Celsius.

"Untuk bilangan hari tanpa hujan berturut-turut sehingga semalam (8 Mei), Kota
 
Bharu, Kelantan terus merekodkan peningkatan iaitu 36 hari, diikuti oleh Mersing, 
Johor sebanyak 23 hari," katanya dalam satu kenyataan malam semalam. 

Beliau menasihati orang ramai agar banyak minum air dan mengurangkan aktiviti luar sewaktu keadaan cuaca panas.
Malaysia kini mengalami cuaca panas dan kering disebabkan fenomena El Nino dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun.

FAIZAL TAHIR KONGSI FOTO MERUNTUN HATI MENGENAI KANAK-KANAK PELARIAN SYRIA














KUALA LUMPUR: Penyanyi yang terkenal dengan lagu Sampai Syurga, Faizal Tahir merakamkan satu foto yang cukup meruntun hati dalam akaun Instagram miliknya baru-baru ini.

Foto itu memaparkan beliau sedang mendukung seorang kanak-kanak warga Syria yang kini hidup sebagai pelarian setelah peperangan dan keganasan meletus di tanah air mereka sendiri.

Faizal Tahir bersama sahabat-sahabat rapatnya seperti Noh Salleh, Mizz Nina, Aizat Amdan dan beberapa lagi telah terbang ke negara bergolak itu bagi bertemu dan mendekati mangsa perang di negara yang berada di garisan konflik 

yang semakin memuncak, namun tidak dihiraukan penderitaan mereka.

Kongsi Faizal lagi, Aboud berlari ke dakapannya sambil menjerit keseronokan tatkala melihat ketibaan rombongan #1Moment4Them di kem pelarian tersebut.

Sewaktu bermalam di kem tersebut, Aboud mengadu mengantuk kepadanya.

"Saya dendangkan lagu Sayang di telinga Aboud dan dia terlena di penghujung 

lagu itu...," tambah Faizal.Sehingga kini, kutipan dana One Moment For Them 2.0 di Mesir dan Jordan sudah mengumpul sebanyak RM130,110.00.

KERETA API DAN ETS BERTEMBUNG DI JALAN KUALA KUBU














KUALA KUBU: Lebih 500 penumpang berada dalam keadaan panik apabila dua buah kereta api penumpang dilapor bertembung di Jalan Kuala Kubu, berhampiran Stesen Komuter Batang Kali.

Kejadian kira-kira pukul 1.48 petang tadi itu melibatkan sebuah kereta api biasa dan sebuah tren ETS.

Kereta api KTM dengan 13 gerabak itu dalam perjalanan dari Butterworth menuju ke Kuala Lumpur, tren ETS berkenaan bergerak dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

Berdasarkan maklumat awal, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengesahkan kemalangan melibatkan tiga gerabak


Tiga penumpang dilapor mengalami cedera ringan dan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

HANYA KIRA-KIRA 75PERATUS PENGAMAL PERUBATAN MEMATUHI AMALAN PENJAGAAN KEBERSIHAN TANGAN 

SHAH ALAM: Hanya kira-kira 75 peratus pengamal perubatan di hospital kerajaan mematuhi amalan penjagaan kebersihan tangan, kata Pengerusi 

Jawatankuasa Kawalan Infeksi dan Antibiotik Kebangsaan, Datuk Dr Christopher Lee.

Bagaimanapun Dr Christopher berkata, tahap pematuhan itu masih kurang memuaskan kerana pematuhan kebersihan tangan dalam kalangan 

pengamalperubatan perlu mencapai 100 peratus sesuai dengan status mereka.


"Tahap pematuhan yang kita gunakan secara standard adalah 70 peratus. Sekarang kita sudah meningkat kepada 80 peratus.


"Kita akan terus memastikan ia meningkat pada masa akan datang," katanya 

selepas majlis perasmian Hari Penjagaan Kebersihan Tangan Sedunia peringkat kebangsaan di Hospital Shah Alam, di sini, pada Khamis.

Tanpa menjaga standard kebersihan tersebut, golongan pesakit berdepan risiko mendapat jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan (HCAI). Ia merupakan jangkitan pada pesakit sewaktu menerima rawatan kesihatan hingga boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan pesakit dan berisiko membawa maut.

Christopher juga berkata terdapat lima prosedur penjagaan kebersihan tangan 

yang wajib dipatuhi golongan terbabit.

"Adalah wajib bagi pegawai perubatan dan jururawat untuk mencuci tangan 

sebelum dan selepas menyentuh pesakit, sebelum prosedur aseptik, selepas terdedah kepada cecair tubuh pesakit dan selepas menyentuh persekitaran pesakit," ujarnya.
Langkah itu bagi mengurangkan risiko pesakit terdedah kepada jangkitan kuman 
yang boleh mengakibatkan kematian.


LUAR NEGARA

RAKYAT FILIPINA KELUAR MENGUNDI BAGI PEMILIHAN WAKIL RAKYAT DAN  PRESIDEN














MANILA: Lebih 55 juta pengundi akan menunaikan kewajipan dalam memilih teraju baharu kepimpinan Filipina dalam Pilihan Raya Presiden negara itu hari ini.

Proses pengundian sedang berlangsung dengan laporan berlaku insiden serangan ke atas sebuah konvoi kenderaan beberapa jam sebelum pusat  mengundi  dibuka pagi ini.

Tujuh maut manakala beberapa yang lain cedera dalam kejadian itu.

Pilihan Raya Presiden dan Pilihan Raya Umum Filipina diadakan serentak bagi  menentukan siapa Presiden dan Naib presiden Filipina bagi penggal akan 

datang.

Selain itu jawatan dalam Dewan Kongres dan Kerajaan Tempatan turut jadi rebutan.


Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina memastikan proses kali ini tidak dicemari 
penipuan atau penyelewengan undi dengan memastikan pengurusannya berjalan lancar.

Antaranya penyediaan peralatan mengundi diagih awal ke pusat pengundian berdekatan bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku.


Pilihan raya hari ini adalah yang kelima sejak revolusi 'kuasa rakyat' yang  membawa kepada kejatuhan bekas presiden Ferdinand Marcos pada 1986.

SADIQ KHAN DILANTIK SEBAGAI DATUK BANDAR  LONDON PERTAMA BERAGAMA ISLAM 















LONDON: Wakil Parti Buruh Sadiq Khan mencatat sejarah apabila dilantik menjadi Datuk Bandar London pertama yang beragama Islam, selepas mengatasi calon Konservatif, Zac Goldsmith.


Bagi keputusan terakhir, Sadiq berjaya meraih undi sebanyak 56.8 peratus berbanding hanya 43.2 peratus yang diterima Goldsmith.



Kemenangan Sadiq ini menamatkan penguasaan lapan tahun Konservatif di London, yang mempunyai populasi penduduk seramai kira-kira lapan juta orang. 

Sadiq yang juga bekas ahli parlimen dan menteri, bakal menjadi Datuk Bandar ketiga dari Parti Buruh selepas Boris Johnson dan Ken Livingstone.

Kemenangan Sadiq turut disambut oleh Ketua Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn menerusi Twitter rasminya pada pagi tadi.


DEWAN SEMBAHYANG KOMUNITi ISLAM DIBAKAR DI CORSICA,PERANCIS 

AJACCIO: Sebuah dewan yang khusus untuk komuniti Islam setempat menunaikan sembahyang musnah teruk dalam satu kebakaran di Ajaccio, pulau Corsica, ujar pihak berkuasa Perancis.

Insiden itu berlaku selang empat bulan kejadian sebuah lagi dewan sembahyang di situ diceroboh dan diselongkar. 

Tiada sesiapa yang cedera dalam kebakaran di Ajaccio, dan pihak polis masih 

menjalankan siasatan dalam kes yang diklasifikasikan sebagai jenayah itu berikutan penemuan dua punca kebakaran di dalam dewan tersebut.

“Insiden ini sama sekali tidak boleh diterima. Tempat tersebut tidak dilindungi dengan sewajarnya,” ujar Datuk Bandar Ajacio, Laurent Marcangeli kepada sebuah stesen televisyen tempatan.

Pada hujung Disember lalu, pulau tersebut dalam keadaan genting apabila masalah ketegangan kaum tercetus selepas sekumpulan anggota bomba di Ajaccio diserang di sebuah kawasan perumahan yang menempatkan golongan pendatang.

Dalam kekecohan itu, sebuah dewan sembahyang untuk komuniti Islam telah turut diserang dalam satu protes antipendatang.

AZAN KEMBALI BERGEMA DI MASJID BOSNIA SELEPAS 23TAHUN














Selepas 23 tahun, azan akan kembali bergema di sebuah masjid di Bosnia. Masjid Ferhadija, letaknya di banja Luka, rosak teruk selepas dibom semasa perang saudara meletus di rantau balkan itu.

ALEPPO:252 TERKORBAN SEJAK SEMINGGU











SERI KEMBANGAN - i4SYRIA melancarkan Aleppo Emergency Appeal untuk membantu lebih 250,000 rakyat Aleppo yang disekat bantuan kemanusiaan untuk masuk ke sana akibat pengeboman yang tidak henti-henti sejak 23 April yang lalu.

Berdasarkan data daripada Syrian Observatory for Human Rights dan Al Jazeera, lebih 252 orang terkorban sejak minggu lalu termasuk 49 kanak-kanak yang menjadikan jumlah korban di Aleppo sejak tahun 2011 adalah 28,830 orang. 
Pada Rabu lalu, Hospital al-Quds di Aleppo turut dibom pada mengorbankan lebih 30 orang termasuk doktor pakar kanak-kanak terakhir di sana, Dr Muhammad Waseem Moaz. Hospital ini merupakan hospital kelolaan NGO antarabangsa, Doctors Without Borders (MSF).
Serangan oleh rejim Bashar al-Assad dengan bantuan Rusia telah meningkat sejak seminggu lalu kononnya untuk memutuskan bekalan senjata kumpulan 'pemberontak'. Serangan bom barrel terbaru di Aleppo adalah di kawasan Hritan, Kaft Dael, Bab al-Haded dan kejiranan Kastelo.
Kesan pengeboman berterusan sejak 2011 juga telah menyebabkan kemusanahan kepada warisan dunia yang diiktiraf oleh UNSECO iaitu Old City of Aleppo.
i4SYRIA merayu kepada rakyat Malaysia yang prihatin dan dermawan turut membantu kempen ini dengan bersama-sama menyumbang sama ada dalam berbentuk kewangan dan penyebaran maklumat tentang kempen ini kepada rakan-rakan yang lain.
Bantuan akan difokuskan kepada makanan dan perubatan yang akan disalurkan melalui rakan NGO di sana. Dua langkah mudah untuk menyumbang:
1. Salurkan sumbangan anda atas nama 'Humanitarian Care Malaysia Berhad':
Akaun Maybank Islamic : 5642-5856-0698
Akaun Bank Islam : 1209-20100-34904
Akaun CIMB Islamic: 8602 135 592
2. Maklumkan melalui e-mel ke account@mycare.org.my bersama salinan slip atau Whatsapp/Telegram ke 012-2799734 dan nyatakan kemasukan untuk 'Aleppo'.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ibu Pejabat MyCARE di talian +603-8941 2341 (En Aiman). Tempoh kutipan berlangsung selama dua minggu iaitu bermula pada 2 Mei hingga 16 Mei 2016. Sumbangan anda amat dihargai.
Sila ikuti perkembangan terkini di Aleppo dan Syria melalui FB i4SYRIA.












No comments:

Post a Comment