Dec 18, 2016

[AMARGlobal] WEEKLY WRAP UP (12/12/2016-18/12/2016)



DALAM NEGARA

Pengisytiharan rasmi Bagan Datoh sebagai daerah baharu 9 Jan depan



BAGAN DATOH: Bagan Datoh bakal mencatat sejarah apabila diisytiharkan secara rasmi sebagai daerah baharu di Perak bulan depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata pengisytiharan bersejarah itu akan dilakukan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Dewan Sekolah Menengah Sains di sini, 9 Jan depan.

Bagan Datoh secara rasmi diwartakan sebagai daerah pentadbiran yang ke-12 di Perak melalui satu warta kerajaan pada 15 Jun lalu.

MARA jamin taja penuh pelajar daripada keluarga berpendapatan RM6,000 ke bawah



LANGKAWI: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi jaminan akan menaja penuh pelajar cemerlang daripada kumpulan keluarga berpendapatan RM6,000 ke bawah untuk melanjutkan pelajaran mereka di institusi pengajian di bawah kendaliannya.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata institusi-insitusi berkenaan termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Politeknik Mara dan Universiti Mara yang akan ditubuhkan.

Katanya Mara telah mendapat peruntukan sebanyak RM2 bilion daripada Bajet 2017 untuk meneruskan penajaan itu khususnya di bawah Skim Penajaan Cemerlang (SPC).

Annuar berkata penajaan untuk pelajar cemerlang bagi melanjutkan pengajian di luar negara juga akan diteruskan dengan tumpuan negara yang dipilih lebih rendah kos pengajiannya.

Katanya sehingga kini, Mara menaja lebih 65,000 pelajar yang mana kira-kira 7,000 orang daripada mereka belajar di luar negara.

Semua kad tambah nilai prabayar telefon bimbit dikecualikan GST mulai 2017 - PM Najib



PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan mengambil keputusan untuk terus mengecualikan caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi pembelian kad tambah nilai prabayar telefon bimbit bermula tahun depan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk bagi mengurangkan bebanan rakyat.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2016 mengumumkan pengguna warga Malaysia akan memperoleh kembali rebat bersamaan amaun GST dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka, mulai 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini.

PM lancar fasa pertama MRT, perkhidmatan percuma sehingga 16 Januari



PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini melancarkan Fasa Pertama MRT laluan Sungai Buloh-Kajang di stesen MRT Kwasa Damansara.

Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya berkata, pojek MRT itu merupakan satu pencapaian bukan sahaja kepada sistem pengangkutan sedia ada malah sebagai satu batu loncatan kepada kemajuan negara.

Perdana Menteri turut mengumumkan tambang dan perkhidmatan bas perantara percuma selama sebulan bermula esok sehingga 16 Januari 2017 bagi fasa pertama MRT.

Anggota polis kini wajib jalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali - TPM Zahid



TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia diwajibkan menjalani pemeriksaan saringan kesihatan setahun sekali.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pemeriksaan saringan itu akan dijalankan dalam masa terdekat selepas pekeliling baru mengenainya dikeluarkan.

Tambahnya pegawai polis kadangkala terpaksa bertugas selama 24 jam dalam keadaan tertekan dan keadaan tersebut menjejaskan kesihatan badan dan mental mereka.

Beliau berkata kedua-dua aspek kesihatan ini harus diambil kira oleh PDRM dan setiap pegawai polis.

Biskut berasap mula-mula sedap, kemudian...



ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melecur tapak tangan dan mengalami kesakitan di bahagian tekak gara-gara biskut yang mengeluarkan asap apabila dimakan.

Mangsa, Mohd Aiman Mohd Ridwan juga mengadu masih bergelut dengan kepedihan di bahagian tekak biar pun sudah lebih 30 jam berlalu selepas dia memakan biskut berjenama 'Dragon Breath' itu.

Ibunya, Nordiana Yaacob, 45, membeli biskut berkenaan di sebuah gerai di bazar larut malam Uptown, Jumaat lalu dengan harga RM10 semangkuk.

Mohd Aiman menyedari sesuatu yang pelik apabila tapak tangannya terasa pedih apabila terkena cecair 'biskut berasap' itu.

Tidak lama kemudian, tapak tangannya melecur dan mengelembung seperti terkena air panas.
Bimbang dengan isi kandungan biskut tersebut, ibunya memanjangkan hal ini kepada Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE).

Setiausaha CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff juga mengesahkan telah menerima lima aduan yang sama melibatkan biskut tersebut.

"Setelah persatuan pengguna kedah membuat kajian, kita mendapati bahawa 'dragon cookies' ini menggunakan gas nitrogen untuk mengeluarkan asap.

"Jadi untuk pengetahuan secara rambang kita lihat gas nitrogen memang amat berbahaya kepada kesihatan," katanya semasa ditemubual Astro AWANI di pejabatnya.

Justeru itu, CAKE mendesak pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan siasatan terperinci dan mengelak kejadian yang memudaratkan pengguna tersebut tidak berulang.

LUAR NEGARA

Letupan nekad bom kereta ragut nyawa 13 anggota tentera Turki



ISTANBUL: Sekurang-kurangnya tiga belas anggota tentera Turki terbunuh dalam sebuah kejadian pengeboman kereta yang mensasarkan anggota tentera di luar waktu bertugas yang sedang dalam perjalanan menaiki bas ke sebuah pusat membeli belah.

Selain yang terbunuh, 48 lagi anggota tentera cedera dalam serangan pada Sabtu di tengah bandar Anatolia di Kayseri, jelas seorang askar dalam sebuah kenyataan yang juga memaklumkan terdapat orang awam yang turut cedera.

Visual yang dipaparkan di kaca televisyen turut memaparkan bahawa bas tersebut musnah sama sekali kesan daripada serangan tersebut dan kelihatan mangsa yang cedera sedang menunggu ketibaan ambulan.

Korea Selatan keluarkan amaran tertinggi penularan wabak selesema burung H5N6



SEOUL: Korea Selatan pada Jumaat mengeluarkan amaran tertinggi tentang wabak selesema burung buat kali pertama, sekali gus memberikan lebih kuasa kepada pihak berwajib untuk mengambil langkah mengawal penularan.

Perkembangan terbaru menyaksikan kira-kira 10 peratus daripada bekalan ternakan negara tersebut sudah dilupuskan.

Sejak kes pertama virus patogenik H5N6 disahkan pada pertengahan November lalu, ia telah merebak dengan cepat ke seluruh Korea Selatan, sementara 16 juta ayam dan itik terpaksa dihapuskan.

Mereka juga akan melakukan vaksinasi kepada semua ternakan dan melakukan semburan nyahjangkit terhadap semua kenderaan di jalan raya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah memberi amaran pada awal tahun ini bahawa srain virus itu menyebabkan jangkitan teruk kepada manusia.

Menara Eiffel bergelap tanda sokongan kepada rakyat Aleppo



PARIS: Lampu yang menyinari Menara Eiffel di Paris ditutup pada Rabu bagi menunjukkan sokongan kepada rakyat Aleppo, Syria yang berdepan serangan daripada rejim pemerintah.

Monumen tersebut bergelap dari jam 8 malam waktu tempatan, dan Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo berkata ia adalah sebagai tanda protes terhadap situasi dahsyat yang dihadapi orang awam dalam bandar Aleppo.

Angkatan pejuang penentang rejim mengumumkan perancangan baru pada Rabu bagi membolehkan penduduk dipondahkan keluar dari bandar berkenaan.

Hidalgo dalam satu kenyataan sebelum lampu menara berkenaan dipadamkan, berkata, “Jalan-jalan terakhir di Aleppo yang dipertahankan kumpulan penentang rejim sudah ditembusi, lalu menyebabkan ratusan menjadi mangsa.”

Ratusan orang telah mengadakan tunjuk perasaan di Paris pada Rabu sebagai sokongan kepada rakyat Aleppo.

Sesetengah daripada penunjuk perasaan mengenakan secebis kain merah sebagai simbol darah yang tumpah dalam pertempuran di bandar kedua terbesar di Syria itu.

Image result for HUMANITY QUOTE








No comments:

Post a Comment