Dec 8, 2016

S T R E S S !


Jam menunjukkan pukul 11.50 malam. Saat manusia-manusia lain sedang dibuai mimpi, aku masih lagi menghadap slaid untuk subjek Paediatrik. Aku pun tak pasti, aku yang baca slaid, atau slaid yang tengok aku. Hampir sahaja mataku menembusi skrin laptop setelah hampir 5 jam aku menelaah. Jam terus berdenting saat demi saat, seolah-olah menjerit ‘Exam dah dekat! Exam dah dekat!’. Dengan peperiksaan yang berbaki hanya beberapa hari lagi, aku dapat rasakan debaran yang semakin memuncak. Masakan tidak, peperiksaan ini merupakan penentu untuk aku menyarungkan jubah graduasi sekaligus bergelar sebagai seorang Doktor.

Aku terbayang wajah kedua-dua ibu bapaku yang meletakkan segunung harapan supaya aku dapat menamatkan pelajaranku dan membawa pulang segulung ijazah. Aku mula rasa menyesal kerana tidak memulakan ulangkaji sejak cuti musim sejuk yang lalu. Masaku sewaktu cuti dihabiskan dengan menonton rancangan Running Man, seolah-olah membalas dendam setelah menjalani kelas berminggu-minggu lamanya.

Demi masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.

Tiba-tiba, aku terasa begitu tertekan kerana masih banyak lagi slaid dan bab-bab di dalam buku yang perlu aku baca dan hadamkan. Aku benar-benar risau dan mula membayangkan situasi aku sewaktu peperiksaan, di mana aku tidak dapat menjawab soalan dan seterusnya gagal. Jujur aku katakan, tahap keyakinanku untuk menghadapi peperiksaan pada waktu itu hanyalah 10%. Akhirnya, air mataku tertumpah dan aku teresak-esak seorang diri.



***

Adakah anda seakan-akan familiar dengan situasi di atas?

Dewasa ini, masyarakat amat menitik beratkan kesihatan fizikal, akan tetapi kesihatan mental seringkali dipandang enteng. Malahan, jika ada dalam kalangan masyarakat yang mempunyai temu janji dengan pakar psikiatri, terus sahaja dicop sebagai ‘orang gila’. Artikel kali ini akan membincangkan dan mengupas tentang depression atau kemurungan, yang merupakan silent killer dalam kalangan masyarakat Malaysia.

‘Kajian mendapati setiap hari purata tujuh kes bunuh diri berlaku di negara ini dengan jumlah keseluruhan 2,000 kematian bunuh diri setahun kerana gangguan mental, berbanding sejuta kes bunuh diri setahun di seluruh dunia.’ (Khairina Yasin, 2007)

Di antara punca-punca yang boleh mendatangkan kemurungan:
  1. Perpisahan dengan orang yang tersayang 
  2. Kegagalan di dalam pekerjaan, pelajaran, kekeluargaan 
  3. Insomnia 
  4. Kemiskinan 
Oleh itu, berikut merupakan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi dan menangani stress.

1) Sentiasa memperbaharui niat dan mengingati tujuan kita dihidupkan.

Sebagai Muslim, kita harus sentiasa yakin bahawa dunia ini merupakan persediaan bagi kita untuk membawa bekalan di akhirat kelak. Sesungguhnya, setiap ujian yang menimpa kita akan memberikan ganjaran pahala buat kita sekiranya kita bersabar.


“Dan kami pasti akan menguji kamu dgn sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”


"Iaitu orang-orang yang apabila ditmpa musibah, mereka berkata "inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami kembali)


(2:155-156)

2) Melakukan aktiviti riadah sekurang-kurangnya 3 kali seminggu

Selain dapat membantu untuk memastikan berat badan kita di dalam lingkungan BMI yang normal, melalui senaman, badan kita akan merembeskan hormone endorphin yang akan serta-merta meningkatkan mood kita dan memberikan rasa euphoria.



      3)  Sentiasa berkongsi dan meminta pandangan daripada orang yang dipercayai tentang masalah kita.

Jangan sesekali memendamkan perasaan seorang diri dan memencilkan diri kita daripada orang lain sekiranya kita sedang menghadapi masalah. Sekiranya masalah itu terlampau sensitif untuk dikongsi, berjumpa dengan kaunselor atau pakar psikiatri untuk mendapatkan pandangan professional merupakan salah satu cara lain yang boleh dipraktikkan.

Manakala, sekiranya ada rakan yang berkongsi masalahnya dengan anda, cubalah untuk menjadi pendengar yang baik. Kadangkala, bukan penyelesaian yang dipinta, cukuplah bagi anda untuk meminjamkan telinga dan masa anda untuk mendengar luahan hatinya.


      4) Rancang kehidupan dengan baik

Tetapkan matlamat dan menyusun jadual harian dengan baik merupakan cara yang terbaik untuk mengelakkan stress. Namun, perasaan malas boleh menyebabkan kita bertangguh daripada melakukan pekerjaan yang sepatutnya diselesaikan. Jadi, cara terbaik adalah dengan memberitahu rakan-rakan serta ahli keluarga tentang matlamat yang ingin kita capai dan meminta dorongan daripada mereka supaya kita kekal bersemangat setiap hari.


     5) Mulakan harimu dengan kata-kata positif.

Don’t be so hard on yourself. Mungkin selama ini kita terlampau mengkritik diri kita sendiri. Apa kata kita cuba ubah perspektif buruk terhadap diri kita dan ucapkan kata-kata positif terhadap diri kita sendiri. Tanpa kita sedari, terlampau banyak nikmat-nikmat yang kita kecapi dan mungkin hanya mampu diimpikan oleh orang lain. Ayuh muhasabah diri dan berSYUKUR :)







No comments:

Post a Comment