Dec 11, 2016

[AMAR GLOBAL] WEEKLY WRAP UP ( 5/12/2016 - 11/12/2016)

DALAM NEGARA

MERCY MALAYSIA BERJAYA MASUK KE GAZA
















KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) hari ini berjaya memasuki Gaza, Palestin, melalui sempadan Rafah di Mesir bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan di wilayah itu.

Menurut persatuan bantuan sukarelawan itu, misi kali ini merupakan misi kemanusiaan pertama yang dibenarkan masuk melalui sempadan Rafah sejak lawatan kerja Mercy Malaysia yang terakhir pada tahun 2014.

"Antara program yang akan dilakukan oleh Mercy Malaysia termasuklah menyampaikan bantuan makanan serta kelengkapan keluarga bagi musim sejuk, mengadakan bengkel 'Hospital Berdaya Tahan' di Universiti Islam Gaza serta mengadakan program psikososial bagi masyarakat," kata persatuan itu dalam kenyataan pada Sabtu.

Mercy Malaysia juga akan melancarkan Bangunan Al Amal Centre iaitu sebuah pusat psikososial serta sekolah kanak-kanak kurang upaya dan makmal baharu Fakulti Perubatan Universiti Islam Gaza sumbangan persatuan itu yang masing-masing bernilai US$200,000.

Misi bantuan kemanusiaan kali ini diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan disertai oleh dua orang pegawai kedutaan serta Pengarah Pembangunan Program dan Operasi Mercy Malaysia Norazam Ab Samah.

Mercy Malaysia telah berjaya menyalurkan sebanyak US$18 juta ke Gaza sejak tahun 2008, yang merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin.
Pada Julai 2014, Tentera Israel melancarkan operasi 'Protective Edge' secara besar-besaran di Genting Gaza dengan menyasarkan serangan terhadap kediaman awam, sekolah-sekolah dan kedai-kedai rakyat Palestin yang mengakibatkan ramai orang awam yang tidak berdosa menjadi mangsa.


BANJIR : 3 PUSAT PEMINDAHAN DIBUKA DI PERAK,173 PENDUDUK TERJEJAS














IPOH: Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara dibuka di seluruh Perak berikutan banjir kesan daripada musim tengkujuh dan monsun timur laut ketika ini, demikian menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata sehingga pukul 1.30 pagi tadi, seramai 173 penduduk dari dua daerah ditempatkan di tiga pusat pemindahan berkenaan.

Di daerah Manjung, dua pusat pemindahan dibuka iaitu di dewan orang ramai Simpang Tiga yang menempatkan 76 orang, manakala 73 lagi berada di Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.

Kampung yang terjejas di Manjung adalah Kampung Serapoh, Kampung Simpang 3 dan Kampung Padang Serai dengan paras air banjir setinggi 0.15 meter hingga 0.2 meter.

"Di daerah Kuala Kangsar seramai 24 orang ditempatkan di dewan Kampung Setor selepas air banjir mencecah satu kaki," demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Sementara itu, pihak bomba sedang memantau banjir kilat di Kampung Gabis, Padang Rengas selepas air naik setinggi empat kaki yang menjejaskan 10 rumah akibat hujan lebat tanpa henti.

PENDAKWAH DIGALAK GUNA MEDIA SOSIAL UNTUK BERDAKWAH

KOTA BHARU: Pendakwah digalak menggunakan media sosial untuk berdakwah kerana ia lebih pantas dan sebarannya meluas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata cabaran masa kini memerlukan pendakwah yang mampu menguasai teknologi terkini untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

"Suasana terkini juga memerlukan pendakwah untuk membuat pencerahan kepada masyarakat bagaimana untuk menggunakan media sosial dengan bijak mengikut prinsip Al Quran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Pendakwah 2016 di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata perubahan persekitaran, letusan maklumat, arus globalisasi dan lambakan gajet berteknologi, memberi lebih ruang kepada masyarakat untuk mendapat maklumat yang tidak disaring.

"Kemunculan pelbagai media baharu yang dilihat semakin hebat dan berpengaruh serta mampu membentuk pemikiran masyarakat adalah cabaran besar yang harus diterokai dan dimanfaat sepenuhnya dalam kerja-kerja dakwah," katanya.

Multaqa Pendakwah sehari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dihadiri kira-kira 800 pendakwah termasuk imam, guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan guru agama di negeri ini.

HOSPITAL MELAKA SASAR 30,000 UNIT BEG DARAH TAHUN INI 















ALOR GAJAH: Hospital Melaka menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 30,000 unit beg darah menerusi kempen derma darah yang dianjurkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Ketua Unit Tabung Darah hospital itu, Dr Nor Amiza Mat Amin berkata sasaran itu boleh dicapai memandangkan sepanjang tahun lalu, pihaknya berjaya mengumpul lebih 28,000 unit beg darah menerusi pendekatan yang sama.

Katanya kesedaran menderma darah dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan secara berterusan bukan sahaja bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di hospital, bahkan dapat menyemai pelbagai nilai positif dalam diri golongan berkenaan.

"Menderma darah merupakan amalan mulia yang bukan sahaja boleh memupuk nilai murni dalam diri malah dalam masa sama turut membantu menyelamatkan nyawa orang lain," katanya kepada pemberita pada program Karnival Derma Darah anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Infineon Technologies (M) Sdn Bhd dan Hospital Melaka di Durian Tunggal, di sini malam tadi.

Turut hadir Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Datuk Md Yunos Husin, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib serta Presiden yang juga Pengarah Urusan Infineon Technologies, Lee Cheong Chee.

Pada program itu, kira-kira 800 unit beg darah disasarkan iaitu terdiri daripada pelajar UTeM, ibu bapa pelajar dan kakitangan UTeM yang menderma darah.

Sementara itu, Nor Amiza berkata persepsi negatif bahawa menderma darah boleh menimbulkan pelbagai kesan sampingan seperti kegemukan, rasa tidak selesa dan lemah anggota badan perlu dikikis sama sekali, kerana dengan menderma darah, proses penghasilan darah baharu dalam tubuh badan akan berlaku.

"Sehubungan itu, melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menangkis stigma-stigma yang sering dikaitkan dengan pendermaan darah termasuk menderma darah boleh memudaratkan kesihatan penderma atau menyebabkan kesakitan," katanya.

Menurut beliau aktiviti menderma darah turut menjadi pilihan kepada syarikat-syarikat korporat sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) mereka, sebagaimana yang dilakukan syarikat Infineon Technologies.

Sementara itu, Shahrin berkata program seumpama itu merupakan antara inisiatif bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma darah demi menyelamatkan nyawa orang lain.
"Justeru, melalui program usahasama berkenaan, kami berupaya menyumbang dengan memberi bantuan dalam memastikan bekalan darah untuk pesakit di Hospital Melaka mencukupi," katanya.


ISU ROHINGYA : MYANMAR HENTI PENGHANTARAN PEKERJA ASING KE MALAYSIA 

















KUALA LUMPUR: Kerajaan Myanmar memutuskan untuk menghentikan penghantaran pekerja negara itu ke Malaysia.

Ia susulan pendirian Kuala Lumpur meningkatkan tekanan ke atas negara itu berhubung isu etnik Rohingya.

Menurut laporan Myanmar Times, pengumuman itu dibuat Kementerian Buruh, Imigresen dan populasi Myanmar dalam satu kenyataan semalam.

Laporan itu memetik kenyataan Persekutuan Agensi-agensi Pekerjaan Luar Negara Myanmar yang berpendapat syarikat-syarikat di Malaysia bakal berdepan kesukaran susulan pembekuan itu.

Dua hari lalu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengadakan pertemuan dengan presiden Myanmar, Htin Kyaw di kediaman presiden di Naypyitaw.
Pertemuan itu dikatakan bertujuan meredakan ketegangan susulan pendirian tegas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada himpunan solidariti ummah untuk Rohingya Ahad lalu.

LUAR NEGARA


29 MAUT 166 CEDERA SERANGAN BOM DI STADIUM ISTANBUL















ISTANBUL: Angka kematian terus meningkat kepada 29 orang, manakala lebih 166 mangsa cedera dalam dua letupan bom di luar stadium bola sepak Besiktas, lapor agensi berita AFP.

Pihak berkuasa melaporkan, hampir kesemua mangsa yang  terbunuh adalah anggota polis, kecuali dua orang awam.

Serangan pertama dipercayai berpunca dari ledakan bom sebuah kereta di luar stadium pasukan bola sepak Besiktas, manakala satu lagi letupan berpunca dari serangan pengebom bunuh diri.

Menurut Menteri Dalam Turki, Seleyman Soylu, bom kereta di luar stadium berkenaan dipercayai mensasarkan sebuah bas polis.

Letupan berlaku selepas perlawanan membabitkan pasukan tuan rumah Besiktas yang menewaskan pasukan pelawat Bursaspo, dengan jaringan dua satu pada Sabtu.

Terdahulu menurut saksi kejadian, sasaran serangan adalah bas yang membawa polis anti rusuhan.

Setakat ini, masih belum ada individu yang mengaku bertanggungjawab di atas insiden berkenaan.
Bagaimanapun,  siri insiden sebelum ini dikaitkan dengan militan Daish dan kumpulan bersenjata Kurdish yang aktif di timur serta tenggara Turki.


ANGKA KORBAN GEMPA BUMI ACHEH MENINGKAT KEPADA 97 ORANG 















MEUREUDU: Angka korban susulan gempa bumi 6.4 magnitud yang melanda Aceh, Indonesia pagi ini telah meningkat sekali ganda kepada 97 orang, kata jurucakap tentera dengan lebih ramai mangsa dibawa keluar dari kesan runtuhan.

Angka korban dijangka terus meningkat dengan anggota pencari meneruskan usaha menyelamat di kawasan kediaman, masjid dan deretan kedai yang musnah akibat gempa itu.

Angka awal jumlah korban adalah 52 mangsa namun ia meningkat sekali ganda, menurut tentera.

“Sehingga kini 97 orang telah terbunuh dan angka korban akan meningkat, adakalanya kami temui lima mayat, adakalanya 10 mangsa serentak,” kata Ketua Tentera Wilayah Aceh Tatang Sulaiman kepada agensi berita AFP.

Dianggarkan lebih 1,000 anggota tentera dan 900 anggota polis telah dikerah ke kawasan bencana bagi usaha menyelamat selain mendirikan khemah dan pusat pemindahan.

Menurut pegawai kerajaan, ratusan rumah dan kedai musnah teruk, menyebabkan ramai yang kehilangan tempat tinggal dan memerlukan makanan dan minuman.

“Sumber elektrik masih tiada. Banyak tempat menggunakan generator, namun jumlahnya juga tidak banyak,” kata ketua agensi bencana tempatan, Puteh Manaf.
“Dibimbangkan sekiranya hujan, ia akan menyebabkan wabak merebak,” katanya lagi.

Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud melanda di Pidie Jaya, Aceh awal pagi ini sekitar jam 5.03 pagi waktu tempatan, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

KUMPULAN BERHALUAN KANAN ISRAEL CUBA GAGALKAN RUNDINGAN DAMAI PALESTIN














WASHINGTON: Kumpulan berhaluan kanan di Israel cuba menggagalkan proses rundingan damai dengan Palestin, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.

Kerry mendakwa, kenyataan berbetuk 'gangguan melampau' telah dikeluarkan oleh sebahagian pegawai kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Tegas beliau, idea penubuhan negara Palestin juga ditentang separuh daripada anggota-anggota Kabinet Israel.

“Saya bukan mahu membe­ritahu anda bahawa penempatan yang dibina di tanah Palestin adalah punca konflik. Tidak sama sekali.

“Tetapi, saya juga tidak boleh menerima tanggapan bahawa ia (penempatan) itu tidak akan menjejaskan proses rundingan damai,” ujar Kerry.

Sebelum ini, Netanyahu mendakwa pembinaan penempatan Israel di tanah milik penduduk Palestin tidak menghalang proses rundingan damai itu.

Malah, Netanyahu mendakwa, beliau sedia berbincang tanpa syarat sambil menggesa negara-negara Arab mengiktiraf penubuhan ‘negara’ Israel.

Kerry bagaimanapun menolak pandangan menyatakan negara-negara Arab akan berunding dengan Israel tanpa sebarang persetujuan mengenai isu Palestin.
“Tidak akan ada rundingan damai berasingan atau persetujuan lebih awal dengan negara-negara Arab tanpa Palestin.

“Semua orang perlu tahu me­ngenai perkara itu dan ini adalah satu kenyataan yang perlu diterima semua pihak,” kata Kerry.


PESAWAT PENERBANGAN ANTARABANGSA PAKISTAN BAWA 48 PENUMPANG DISAHKAN TERHEMPAS














ISLAMABAD: Sebuah pesawat milik syarikat Penerbangan Antarabangsa Pakistan (PIA) yang sedang membawa 48 penumpang disahkan terhempas berhampiran wilayah bergunung-ganang di Khyber Pakhtunkhwa.

Pesawat PK661 jenis ATR-42 turboprop itu sebelum itu dilaporkan hilang selepas berlepas dari lapangan terbang di Chitral menuju ke Islamabad sekitar 4.30 petang waktu tempatan.

“Sebuah pesawat telah terhempas dan penduduk tempatan memaklumkan ternampak kebakaran, “ kata seorang anggota polis, Saeed Wazir.

Dilaporkan sehingga lewat Rabu sekurang-kurangnya 43 mayat telah berjaya ditemui dan usaha untuk menemui mereka yang masih hidup adalah tipis.

Pesawat itu dikatakan terhempas berhampiran bandar Havelian dalam daerah Abbottabad.

Antara yang terbunuh adalah  Junaid Jamshed seorang penyanyi pop yang bertukar arah menjadi penceramah agama.

Kali terakhir Pakistan mengalami nahas udara adalah pada tahun 2015 dimana nahas di lembah utara negara itu mengorbankan nyawa lapan penumpang termasuk warga Norway, Filipina dan isteri diplomat Malaysia serta Indonesia.
Nahas paling buruk yang pernah direkodkan adalah pada tahun 2010 apabila pesawat Airbus 321 yang dikendalikan syarikat penerbangan Airblue yang sedang dalam penerbangan dari Karachi terhempas di kawasan berbukit, mengorban kesemua 152 penumpang.



No comments:

Post a Comment