Dec 15, 2016

ISU UMMAT DAN NEGARA BERGOLAK, APA PERANAN KITA?

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua,

Belum lagi selesai isu pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Arakan, kita sekali lagi di gemparkan dengan berita mengenai Aleppo yang sungguh menyayat hati pada minggu ini. Aleppo yang merupakan bandar terbesar di Syria terus-terusan berdarah sejak 2011, dan kini lebih teruk dengan adanya campur tangan kerajaan Rusia. Tempat tinggal di musnahkan, para wanita di perkosa, anak-anak kecil yang tidak berdosa turut menjadi mangsa kekejaman kerajaan rejim Bashar Al Assad. Seolah-olah tiada lagi perasaan malu,simpati dan kemanusiaan dalam diri. Begitulah realiti dunia hari ini. Kezaliman bermaharajalela dan tanpa rasa segan silu menyalah gunakan kuasa.




“Bahkan ada di kalangan kami mendapatkan pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan oleh orang awam: “Adakah mereka dibolehkan daripada segi hukum membunuh isteri dan anak-anak mereka sebelum diberkas dan diperkosa oleh tentera-tentera Basyar Assad juga militer Syiah?” Sungguh, ini sangat menyebabkan hati kita seperti disiat-siat, seolah-olah kita tidak boleh melakukan sesuatu untuk membantu mereka,”Ujar Pengerusi Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor ketika memberi pandangan berkenaan krisis kemanusiaan di Aleppo berkata ini bukan soal perbezaan politik, tetapi kemanusiaan sejagat.
Artikel penuh: DUNIA, OIC, PBB, LAKUKANLAH SESUATU SELAMATKAN ALEPPO!
Justeru, di kesempatan ini saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia umumnya,dan kepada semua pelajar Malaysia di Poland khususnya untuk turut bersama-sama menunjukkan solidarity terhadap isu ini. Saya percaya, setiap dari kita mempunyai peranan masing-masing dalam mengetengahkan isu ini. Mungkin ada di antara kita yang fikir, apalah sangat kuasa kita untuk mengubah apa yang sedang terjadi, tapi siapalah kita untuk menghukum. Kerana akhirnya Allah jualah yang maha mengetahui, kecil atau besar usaha yang kita lakukan dalam memperjuangkan isu umat ini hanya Allah sahaja yang berhak menilai. Jangan sampai di akhirat kelak, kita gagal menjawab apabila ditanyakan tentang apakah usaha yang kita sudah lakukan untuk membantu saudara kita di sana!


Sahabat yang saya muliakan,
Ayuh kita lakukan sesuatu! Ingin saya kongsikan di sini tentang beberapa peranan yang boleh kita lakukan, antaranya:
  1. KONGSI berita terkini dari Aleppo dan Syria dari sumber yang boleh dipercayai. (contoh: FB page i4SYRIA, Malaysia Life Line for Syria, Syria Care dll)
  2. INFAQ sedikit rezeki kita buat mereka
  3. TEMBAK doa buat saudara kita di Syria.


WINTER RELIEF 2016 : KLIK DI SINI UNTUK INFO LANJUT


Mereka yang ingin menyumbang, bayaran boleh dibuat atas nama Humanitarian Care Malaysia Berhad melalui mana-mana akaun berikut:
Maybank Islamic: 5642-5856-0698
CIMB Islamic: 8602-13-5592
Bank Islam: 1209-2010-0349-04
Sila e-mel bukti pembayaran kepada account@mycare.org.my.

Qunut Nazilah: “Ya Allah, sesungguhnya kami letakkan Engkau di batang leher musuh-musuh kami, dan kami berlindung denganMU dari kejahatan mereka. Ya Allah, hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka! Kacau-bilaukan persatuan mereka! Cerai-beraikan pakatan mereka! Goncangkan pendirian mereka! Hantarkan ke atas mereka anjing-anjing Kamu! Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa, Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka, Wahai Tuhan Yang Maha Menyiksa, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran, wahai Tuhan yang menggerakkan awanan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkanlah mereka, menangkanlah kami ke atas mereka…” Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolonganMU, kami meminta ampun kepadaMU, kami memohon petunjuk dariMU, kami beriman kepadaMU, kami berserah kepadaMU dan kami memujiMU dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuriMU. Ya Allah, hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, bantulah saudara-saudara seIslam kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan. Ya Allah, selamatkanlah saudara seIslam kami di Gaza yang dizalimi oleh kekejaman rejim zionis dari segala keburukan dan hindarkanlah mereka segala bala, kerana tiada sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah. Allahumma Aameen.

Akhir kata, dalam kita mengutuk kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Aleppo, jagalah akhlak kita,tunjukkan dan salurkan solidarity kita ke tempat yang betul. Memetik kata-kata saudara Afiq Sazlan di salah satu status FB beliau:

“Kalau anda tertanya-tanya apa anda rakyat Malaysia boleh buat untuk Aleppo selain berdoa dan memberi sumbangan,

Saya cadangkan anda berusaha gigih untuk menjadikan orang sekeliling anda baik.

Membentuk manusia yang baik ada banyak cara, dan salah satunya adalah pendidikan.
Walau siapa pun anda, pasti ada ruang untuk mendidik orang lain. Gunakan peluang tersebut bagi menanam bukan sahaja pengetahuan, tetapi juga akhlak dan akidah.
Manusia yang berakhlak tidak akan berlaku zalim, dan bersedia menentang kezaliman.”

Sekian, wallahualam.

NUR FARHANA BINTI PANUT
WAKIL MYCARE POLAND.









No comments:

Post a Comment