Dec 30, 2016

TAHUN BARU 2017

Alhamdullilah segala puji bagi Allah, kita masih lagi diberikan nikmat yang sangat besar iaitu nikmat kehidupan dan nikmat Islam. Selawat keatas junjungan Nabi Muhammad saw. tanpa usaha baginda tiadanya titipan ucapan zikir kepada Allah dan selawat keatas Rasulullah.

Memasuki tahun 2017

1 hari lagi untuk memasuki tahun 2017 dan tahun 2016 akan menutup tirainya. Sebagai seorang manusia, mungkin kita akan merasa waktu yang sudah berlalu ini dirasakan sangat cepat sehingga sedar tidak sedar kita sudah berada dihujung tahun.

Para pembaca yang dikasihi Allah,

Banyak perkara dan peristiwa besar yang telah berlaku pada tahun 2016. Peristiwa-peristiwa yang berlaku bukan sahaja berkisar tentang hal-hal dunia, malah ia juga terkesan kepada masyarakat serta diri sendiri. 

Penulis ingin mengajak para pembaca untuk berfikir sejenak. Sejauh mana peristiwa-peristiwa yang sudah berlaku selama kita tinggal pada tahun 2016 ini merubah diri kita? Adakah ia mengubah kita kearah kebaikan ataupun kearah keburukan? 

Muhasabah 






Memasuki tahun baru, akan ada banyak perkara yang terlintas dibenak pemikiran kita. Mungkin kita sudah merancang untuk melakukan sesuatu, bercuti, menyusun azam-azam tahun 2017. Tetapi Rasulullah pernah bersabda :

"Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik." (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Para pembaca yang dirahmati Allah

Inilah satu peringatan yang sangat besar untuk seorang manusia. Semakin kita melonjak ke tahun seterusnya, ingatlah bahawa kematian itu juga semakin hampir. Tidak lupa juga akan datangnya Hari Kiamat.

Dengan memasuki tahun baru jugalah kita diberikan nikmat iaitu umur yang panjang. Dengan usia yang semakin bertambah, adakah kita ini menyibukan diri beribadat kepada Allah, menjadi orang terbaik dan berfaedah di tengah masyarakat baik dengan harta, tenaga atau pun ilmu yang ada?


"Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan umur yang panjang itu dia gunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang tetapi umur panjang itu digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan saja." (Hadis riwayat Ahmad)


Perubahan

Para pembaca yang diredhai Allah

Setelah kita bermuhasabah, adakah kita ingin berada ditakuk lama? Mengulangi proses yang sama seperti yang telah kita lakukan pada awal tahun 2016? Jika jawapan kita ialah tidak, maka marilah kita bersama-sama meningkatkan segala upaya diri kita untuk menjadi yang lebih baik! 





Tujuan hidup sebagai seorang manusia.

Selama kita dipanjangkan umur, pernahkah kita bertanya pada diri kita, kenapa kita diwujudkan? 

Adakah dengan memasuki tahun baru, kita masih lagi terawang-awang oleh dunia tanpa kita sedar ada sesuatu yang akan menanti kita di akhir kelak?


"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia
  melainkan supaya mereka menyembah-Ku” 
                                                                      (  Adz-Dzaariyat : 56 )     

  
"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui"
                                               ( Al-Baqarah : 30 )


Moga-moga dengan bermulanya tahun baru ini, kita sudah meletakkan matlamat kita berdasarkan pada dua ayat suci Al-Quran ini.


Senantiasa mengingati waktu

Masuk tahun baru pada hakikatnya adalah mengingatkan manusia tentang pentingnya waktu. Imam Syahid Hasan Al-Banna berkata, ”Siapa yang mengetahui erti waktu bererti mengetahui erti kehidupan. Sebab, waktu adalah kehidupan itu sendiri.”

Tambahan pula,  ulama yang hebat, Dr Yusuf Qardhawi, dalam kitab Al-Waqtu fi Hayatil Muslim menjelaskan tentang tiga ciri waktu. Pertama, waktu itu cepat berlalu. Kedua, waktu yang berlalu tidak akan mungkin kembali lagi. Dan ketiga, waktu itu adalah harta yang paling mahal bagi orang beriman.

Maka, kita seharusnya sedar yang masa akan berlalu begitu sahaja sekiranya kita tidak bijak dalam menguruskan masa dengan baik. Akhirnya, kita akan tergolong dalam golongan yang sangat rugi!



Memahami pentingnya peningkatan diri

Apabila membicarakan tentang peningkatan diri, maka sesuatu perbuatan yang lebih harus dilakukan. Oleh itu, para pembaca haruslah sedar bahawa setiap peningkatan yang ingin kita capai bukannya mudah kerana banyak perkara perlu dikorbankan dan kita perlu mengajak diri kita untuk keluar daripada 'comfort zone'.

Hal ini kerana apabila kita tidak ingin atau korbankan sesuatu perkara demi mujahadah diri, maka segala matlamat dan muhasabah yang kita buat akan menjadi sia-sia!

Lagi-lagi kita sebagai seorang muslim. Seorang muslim ialah mereka yang sentiasa mengejar untuk meningkatkan diri agar Allah sentiasa meredhai mereka dan menjadi seorang individu muslim yang berguna terhadap agama, masyarakat dan negaranya!


AKHIR KATA


“Barangsiapa yang berhijrah untuk Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang berhijrah untuk dunia (untuk memperoleh keuntungan duniawi) dan untuk menikahi wanita maka hijrah itu untuk apa yang diniatkan nya.”

Segala apa yang kita lakukan itu pada akhirnya bergantung kepada niat kita.

Banyakkan beristigfar, bermuhasabah dan berdoa semoga Allah memberikan yang terbaik untuk kita pada tahun baru ini. InsyaAllah ..



Semoga bermanfaat..

No comments:

Post a Comment