Jan 22, 2009

sindiran dunia..


nota: tIngKatkan preStasi kurAngkan koNtroversi!!! layanNNNNNN

“Aduh, sakit pinggang dibuatnya. Jauh betul perjalanan kita kali ini,” saya mengeluh.

“Kita dah sampai mana ni?” Jamil bertanya kepada saya.

“Kejap, bagi ana tengok di luar” saya menjenguk ke luar tingkap bas kami.

“Oh, di mana lagi. Kita sekarang di Aksehir,” saya rasa teruja kerana berada di Aksehir.

“Apa yang menariknya di Aksehir ini?” Khairul seperti tidak begitu bersemangat untuk turun dari bas. Mungkin keletihan agaknya.

“Apa lagi, kalau bukan si Juha. Tapi bukan Juha Arab. Ini Juha Turki. Namanya Nasrettin Hoca,” saya turun dari bas menuju ke sebuah taman kecil.

Bas yang kami naiki dari Konya ke Bolvadin, berhenti rehat di Aksehir. Bandar kecil ini adalah bandar yang diwartakan sebagai kampung halaman Nasrettin Hoca.

“Eh, kenapa orang tua ni tunggang keldai terbalik?” Najib terkejut.

“Bukan orang tua tu terbalik. Keldai itu yang menyongsang. Dia yang salah arah”, saya memberikan penjelasan.

“Anta biar betul!” Jamil tidak percaya.

Saya ketawa.

Itulah Nasrettin Hoca. Soalan yang Najib tanyakan itu, sudah pun ditanya kepada beliau suatu ketika dulu. Dan itulah jawapannya. Bukan dia yang menyongsang, tapi keldainya yang salah arah.

KHUTBAH TERHEBAT

Pernah suatu ketika Nasrettin Hoca berdiri di hadapan penduduk pekan Aksehir untuk berucap.

“Tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan pada hari ini?” beliau bertanya kepada orang ramai.

“Tak tahu!” jawab mereka.

“Huh, saya tidak mahu bercakap dengan orang sejahil kamu!”, kata Nasrettin Hoca sambil berlalu pergi.

Penduduk Aksehir terkejut. Oleh kerana mereka begitu ingin tahu apa yang mahu diperkatakan oleh Nasrettin Hoca, mereka menjemputnya sekali lagi pada keesokan harinya.

Nasrettin Hoca naik ke pentas lalu berkata, “Tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan pada hari ini?” beliau sekali lagi bertanya soalan yang sama.

“Tahu, tahu!” penduduk pekan Aksehir mengangguk-angguk sambil tersenyum. Mereka tidak mahu menerima nasib yang sama seperti semalam.

“Oh, kalau kamu sudah tahu, tidak perlulah lagi saya berucap!” kata Nasrettin Hoca. Beliau terus beredar pergi.

Sekali lagi orang ramai terkejut. Namun, mereka belum berputus asa. Buat kali yang seterusnya, mereka menjemput beliau berucap semula keesokan harinya.

Nasrettin Hoca bertanya, “tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan hari ini?”.

Beliau memulakan ucapannya.

“Tahu, tahu!” kata sebahagian hadirin.

“Tak tahu, tak tahu!” kata sebahagian yang lain.

“Oh, kalau begitu, mereka yang tahu beritahulah mereka yang tidak tahu!” kata Nasrettin Hoca lagi. Beliau bangun dan bingkas beredar.

Manusia yang mahu bercakap dengan Nasrettin Hoca pasti akhirnya kebingungan, dari era Seljuk sampailah ke hari ini. Kami berempat ketawa. Macam-macam kerenah orang tua yang seorang ini.

PELBAGAI VERSI NASRETTIN HOCA

Watak Nasrettin Hoca terkenal bukan hanya di dalam tradisi Turki, tetapi juga di dalam sastera Parsi, Arab, Azeri, Pashto, Urdu, Hindi, Bosnia, Serbia malah Greece dan Bulgaria. Walau pun dikenali dengan nama yang pelbagai, namun jalan cerita mengenainya, adalah hampir sama.

Ada pelbagai teori tentang siapakah sebenarnya Nasrettin Hoca tetapi bagi saya kebanyakan maklumat lebih kepada lagenda yang sukar untuk dikenal pasti kesahihannya. Apa-apa pun, tahun 1996 telah pun diisytiharkan sebagai Tahun Nasrettin Hoca oleh UNESCO.

Selepas bergambar, saya menyambung lagi cerita-cerita yang saya tahu mengenai Nasrettin Hoca.

SERBAN TOK GURU

Pernah suatu ketika, semasa Nasrettin Hoca masuk ke sebuah kampung, dia telah dikerumuni oleh sekumpulan pemuda yang datang membawa kitab.

“Kamu nak apa?” tanyanya kepada pemuda-pemuda itu.

“Kami mahu mengaji kitab, mahu menadah ilmu darimu wahai Tuan Guru,” jawab mereka.

“Macam mana kamu boleh tahu yang aku ini seorang Tuan Guru?” tanya Nasrettin Hoca kepada pemuda-pemuda yang mengerumuninya itu.

“Kami percaya kamu adalah seorang Tuan Guru sebab serban kamu yang besar dan hebat,” kata mereka.

“Oh, kamu anggap aku ini guru kamu sebab serban aku ya. Baiklah. Nah, ambil ini dan belajarlah dari keldaiku!”, kata Nasrettin Hoca sambil menanggalkan serbannya lalu dipakaikan di kepala keldainya.

“Hari ini, Tuan Guru kamu adalah keldaiku. Keldai berserban ini”, kata Nasrettin Hoca. Pemuda itu terlopong semuanya.

Kami ketawa lagi. Hilang sekejap penat bermusafir.

Saya, Khairul, Jamil dan Najib sedang mengembara. Kami bertolak dengan teksi dari Amman ke Damascus. Kemudian kami menaiki bas dari Damascus ke Antakya. Kami singgah beberapa hari di Konya dan kini sedang dalam perjalanan ke Bolvadin, kampung saya dah Fatih.

Saya mengajak rakan-rakan saya minum teh epal di restoran berhampiran. Bas masih ada masa sekitar 15 minit sebelum memulakan kembali perjalanan

BERAPA SUDAH YANG TERKENA

Suatu ketika, Nasrettin Hoca sedang duduk di sungai memasang bubu ikan. Tiba-tiba lalu seorang lelaki dan beliau cuba meramahkan diri, bertanya kepada Nasrettin Hoca, “Berapa sudah yang terkena?”

Nasrettin Hoca menjawab, “kamu adalah yang kesembilan!”

Najib dan Khairul ketawa. Jamil masih terpinga-pinga dengan cerita saya kali ini.

“Baiklah Jamil. Ana cari yang mudah sikit,” saya tersenyum.

TETAMU KEHORMAT

Pernah suatu ketika, Nasrettin Hoca hadir ke sebuah majlis jamuan makan. Beliau hadir dengan hanya berpakaian biasa dan ala kadar. Namun sambutan penganjur terhadapnya hampir tiada. Tidak ada sesiapa pun yang peduli akan kehadiran Nasrettin Hoca. Lalu beliau pulang ke rumah untuk mengambil baju bulu mewah yang cantik. Apabila Nasrettin Hoca tiba di majlis itu dengan penuh gaya, pihak penganjur kelam kabut menyambut kehadiran Nasrettin Hoca dan melayannya seperti seorang VIP.

Apabila makanan dan minuman dihidangkan, Nasrettin Hoca mengambil sudu lalu mencurahkan sup dan minuman yang dihidangkan kepadanya itu ke baju bulu yang dipakai.

“Makanlah wahai baju, jangan segan-segan. Ternyata engkaulah tetamu kehormat hari ini, yang diraikan. Bukannya aku,” kata Nasrettin Hoca. Kesemua hadirin termenung.

Ada banyak lagi kisah lucu yang dinisbahkan kepada Nasrettin Hoca. Cerita-ceritanya bukan sekadar lucu biasa. Dalam lucu itu ada mesej yang mahu disampaikan.

Ini adalah ciri penting dalam semua kisah rakyat.

Saya sedih kerana kisah-kisah ini semakin dilupakan. Walhal kisah-kisah rakyat seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, malah himpunan kisah Pakcik Kordi, kesemuanya menggambarkan kehalusan budaya generasi ibu bapa kita dalam mengungkapkan satu-satu mesej dan teladan.

Cerita itu mengundang ketawa. Tetapi selepas seketika, terasa bodoh kerana yang ditertawakan adalah diri sendiri.

KOMUNITI LUCU

Di dalam cerita rakyat Turki, kelucuan-kelucuan tingkah laku sering dinisbahkan kepada kaum Laz. Mereka ini adalah penduduk yang tinggal di wilayah sepanjang Laut Hitam di Turki, yang kadang-kadang disebut sebagai Karadenizli (orang Laut Hitam). Antara sahabat saya yang berketurunan Laz ini adalah Hasan. Banyak cerita lucu yang saya dengar darinya.

Antaranya, Hasan pernah bertanya kepada saya, “Hasrizal, kamu tahu tak macam mana orang Laz menukar mentol lampu di siling?”

Saya sudah ketawa sebelum cuba menjawab, “entahlah. Macam mana?”

“Seorang akan naik ke atas meja, dan memegang mentol lampu itu. Manakala kawan-kawannya akan memutarkan meja tersebut untuk menanggalkan mentol berkenaan!” cerita Hasan.

“Haha… saya tergelak besar mendengarnya.

Apa yang menarik perhatian saya ialah, di mana-mana di kawasan Timur Tengah, ada sahaja golongan atau pekan kecil yang lazimnya dikaitkan dengan kelucuan atau sifat lurus bendul. Jika di Turki, ia dinisbahkan kepada kaum Laz. Manakala di Iran, lazimnya kelakuan lurus bendul ini dinisbahkan kepada Isfahan. Manakala di Jordan, apa yang saya tahu ialah kelakuan penduduk al-Thafilah di selatan Karak.

Tetapi bila saya amati satu persatu, sifat lurus bendul dan himpunan kisah lucu tentang mereka, dipopularkan untuk menjadi kosmetik yang melindungi maksud sebenar segala kelucuan mereka, iaitu menyatakan penentangan terhadap penindasan yang mereka alami. Alangkah tragisnya seorang pemerintah yang zalim tersungkur sambil ketawa!

Saya masih ingat, ketika penduduk Jordan merusuh akibat kenaikan harga roti yang melampau di sekitar akhir 90an. Semasa wartawan menemuramah penduduk al-Thafilah mengapa mereka merusuh, salah seorangnya menjawab, “entahlah. Saya pun tidak tahu. Apa yang saya tahu kami merusuh sebab penduduk Karak merusuh!”

Terkejut saya mendengarnya.

Ketika rusuhan itu berlaku, ada seorang penduduk yang menangkap seekor ayam dan ayam itu dicelup ke dalam minyak tanah. Kemudian ayam tersebut dibakar dan terus dicampakkan ke dalam bank. Ayam itu telah menjadi bom api yang mengerikan. Ketika dirinya dibakar, ayam yang menderita kesakitan itu berlari ke sana sini di dalam pejabat bank berkenaan sambil menyebarkan api. Habis terbakar seluruh bank tersebut… atas idea kampungan penduduk al-Thafilah.

Saya sendiri jadi bingung. Antara ngeri dan mahu ketawa dengan strategi orang al-Thafilah yang selalu disebut di Jordan, “bodoh seperti orang al-Thafilah!”

Akan tetapi, Nasrettin Hoca tetap menjadi pujaan saya. Dengan ratusan himpunan kelucuan hidupnya, saya banyak mendapat input berharga. Betapa lucunya Nasrettin Hoca, hingga setelah mati pun masih mahu bergurau. Kuburnya di Ak?ehir juga berimej lucu. Tertulis di kubur Nasrettin Hoca, “Inilah Pusat Dunia”. Di hadapan kuburnya ada pintu pagar yang berkunci tetapi tiada pagar yang mengelilingi kubur tersebut. Hanya pintu tanpa pagar.

Pada saya, apa yang saya kagum dengan Nasrettin Hoca adalah sifatnya yang sungguh bersahaja sehingga berani untuk bercakap begitu walau pun di hadapan sejahat-jahat penguasa. Ia adalah simbol bantahan penduduk di era itu terhadap kekejaman pemerintah…

Namun ia disampaikan dalam bentuk yang sungguh berseni, lucu tetapi tajam.

Hebat sungguh penangan bahasa…

sumber: saifulislam

1 comment:

  1. nice blog :) keep on blogging. salam ukhwah dari Hamilton, NZ

    ReplyDelete