Dec 9, 2012

Asas-asas Islam: Fasal 4 (samb.)

Salam 'alaikum. Salam buat semua.

Minggu lalu kita telah bincangkan sehingga bahagian Iman kepada Malaikat.
InshaAllah kali ini kita akan habiskan ringkasan AAI fasal 4 ini.


1. Setelah beriman kepada para malaikat, perkara ketiga yang dituntut untuk kita imani ialah kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah swt.

i. Hendaklah percaya bahawa semua kitab yang datang dari sisi Allah taala itu benar, sama ada yang kita dapat berita mengenainya ataupun tidak.

ii. Antara kitab yang kita tahu tentang penurunannya adalah lembaran-lembaran Ibrahim (as), Taurat, Injil, Zabur, dan al-Quran.

iii. Lembaran-lembaran Ibrahim (as) tidak lagi wujud di dunia kini.

iv. Taurat & Injil pula telah banyak diubah sehingga tidak diketahui lagi dari mana asalnya ayat-ayat tersebut, dari Allah, atau sekadar rekaan manusia.

v. Al-Quran adalah kita terakhir yang turun dari sisi Allah taala.

vi. Al-Quran merupakan satu-satunya kitab yang tinggal dalam keadaan aslinya di tangan manusia. Kitab-kitab yang turun sebelum al-Quran telah lesap, dan hanya terjemahan yang tinggal.

vii. Selain al-Quran, kitab-kitab lain yang ada pada manusia tidak dapat diteliti sejarahnya. Berbeza dengan al-Quran yang dapat dipastikan dan dibuktikan oleh saksi-saksi sejarah bagi setiap ayat.

viii. Beriman kepada kitab-kitab dari sisi Allah selain al-Quran merupakan sekadar pembenaran sahaja. Ertinya kita percaya bahawa kitab-kitab itu asalnya diturunkan oleh Allah.

ix. Setiap lafaz dalam al-Quran adalah terpelihara dan mengikut perintah-perintahnya adalah wajib bagi setiap orang yang beriman.



2. Iman akan para Rasul

i.  Seluruh ummat di muka bumi ini telah didatangi oleh Rasul-rasul Allah, untuk menyeru mereka kepada Islam. Dan penutupnya, manusia diseru oleh Nabi Muhammad (saw)

ii. Barang siapa membenarkan seorang daripada mereka bermakna membenarkan mereka seluruhnya, dan barang siapa mendustakan seorang daripada mereka bermakna mendustakan mereka seluruhnya.

iii. Ini kerana semua Rasul yang diutuskan oleh Allah membawa kebenaran yang sama, iaitu mentauhidkan Allah.

iv. Rasul-rasul yang dikisahkan di dalam al-Quran, wajiblah kita mempercayai mereka secara tegas. Manakala yang tidak dikisahkan, kita disuruh mengimani bahawa adanya para Rasul yang ditutuskan Allah bagi umat manusia ini.

v. Nabi Muhammad diutuskan kepada seluruh alam, hingga kepada Hari Kiamat.

vi. Barangsiapa mengikut Nabi Muhammad, sesungguhnya ia telah mengikut para Nabi seluruhnya.



3. Iman akan Hari Akhirat

i. Alam dan segala makhluk akan hancur pada satu hari yang dipanggil Hari Kiamat.

ii. Semua manusia akan dihidupkan semula dan dikumpulkan.

iii. Kemudian semua manusia akan dihadapkan di hadapan mahkamah Allah untuk dihisab.

iv. Mereka yang diampuniNya akan di masukkan ke dalam Jannah, mereka yang dihukum akan dimasukkan ke dalam api.

v. Seseorang yang tidak mengimani hari akhirat, dia akan melihat iman kepada Allah serta mengikuti perintahNya sebagai satu perbuatan yang tidak bermanfaat.

vi. Ini kerana dia tidak dapat melihat faedah dan kebaikan yang dia akan terima apabila melaksanakan perintah Allah.

vii. Adapun mereka yang beriman pada hari Akhirat, dia akan terus melakukan segala perintah Allah, dan tinggalkan larangannya walaupun dengan melakukan demikian tidak akan memberi kebaikan, malah boleh menyebabkan kerugian baginya di dunia ini.

viii. Ini kerana ia yakin bahawa apabila dunia ini hancur, segala perbuatannya akan mendapat balasan, yang baik mahupun jahat.

ix. Di dunia sekarang terdapat tiga jenis kefahaman mengenai pengakhiran hidup.
a. Golongan yang menyatakan tidak wujudnya kehidupan selepas kematian. Jasad akan hancur di dalam tanah dan itulah pengakhirannya. Ini adalah kefahaman dan aqidah seorang mulhid atau atheis.
b. Golongan yang menyatakan manusia setelah matinya akan dihidupkan semula di dunia ini, menjadi sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan. Semuanya bergantung kepada amalnya di dunia.
c. Golongan yang beriman akan Hari Akhirat, berkumpul, hadir di hadapan Allah, dan mengimani pembalasanNya ke atas manusia. Inilah aqidah yang diajarkan oleh seluruh para Nabi.



4. Dibincangkan dalam fasal 4 ini, aqidah yang merupakan asas pembinaan Islam.

5. Kesemua yang dibincangkan ini tersimpul di dalam kalimah "Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu utusan Allah".


Sekian sahaja ringkasan bahagian kedua fasal 4 daripada buku Asas-asas Islam ini.
Moga memberi manfaat.

Moga Allah redho
Allahualam
Jazakumullah khair



Penulis:
Shahida Zahar
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment