Dec 4, 2012

Asas-asas Islam: Fasal 4



Bab 4 - Iman secara terurai


Sebelum kita teruskan dengan bab yang keempat, marilah sama-sama kita melihat kembali beberapa info penting yang telah kita ketahui dalam bab-bab yang sebelumnya.

Pertama:  Sememangnya telah terang lagi bersuluh bahawa agama Islam itu adalah taat akan Allah ta’ala, mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya dan jalan untuk manusia mengenal Allah dan syariat-syariat-Nya adalah melalui Nabi-Nabi yang diutuskan oleh-Nya.

Kedua: Allah mengutuskan para nabi kepada umat manusia di muka bumi ini mengikut ketentuannya. Islam hakikatnya adalah hanya satu dan diturunkan kepada semua ummat manusia,namun terdapat perbezaan dari segi pensyariatan dalam hukum dan cara ibadah sesuai dengan keadaan ummat ketika itu.

Ketiga: Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi terakhir adalah sebagai menyempurnakan pengajaran islam yang diturunkan-Nya kepada seluruh ummat manusia.Tiada lagi nabi dan syariah lain sesudah kewafatan baginda s.a.w.


Iman akan Allah

Apakah perkara yang paling penting yang dibawa dan cuba disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada ummat manusia?

Ya, betul! Kalimah LA ILAHA ILLALLAH (Tiada tuhan melainkan Allah). Inilah yang cuba disampaikan oleh baginda s.a.w kepada ummat manusia. Dan untuk memahami maksud kalimah ini,sudah semestinya kita harus mengetahui apa yang diertikan dengan perkataan ‘tuhan’ itu sendiri.Tuhan bermaksud:

- Yang berhak diibadati ( Yang kerana kebesaran, kemuliaan-Nya  dan ketinggian darjat-Nya,patut diibadati oleh semua manusia)

-Yang pada-Nya berkumpul segala kekuatan.Tidak berhajat kepada sesuatu,malah semua orang berharap pada-Nya dalam seluruh kehidupan mereka.

-Yang terlindung kepada manusia. Manusia tidak mengetahui akan Zat-Nya
Oleh itu,maksud ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ ialah , tiada satupun di dalam alam ini yang layak diibadati manusia,yang patut disujudi dengan taat dan diberi pengabdian sepenuhnya melainkan Allah. Tiada pemilik dan pengatur melainkan Allah s.w.t. Semua makhluk berharap dan memohon pertolongan daripada-Nya, dan Zat-Nya tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia yang lemah.


Hakikat tiada tuhan melainkan Allah
Manusia itu diciptakan dengan sifat-sifat kehambaan yang sememangnya jika kita fikirkan memang bersifat lemah dan hanya bergantung kepada Pencipta-Nya, Allah s.w.t. Anda tak percaya?Buktinya,manusia itu tidak dapat memastikan bahawa apa yang diingininya akan dia dapat pada setiap masa. Mungkin terkadang dia mendapat apa yang dihajatinya,namun tidak pada masa yang lainnya.Berlakunya sesuatu dan terhindarnya sesuatu bukanlah dalam bidang kuasa  manusia.

Dan disebabkan hal inilah, timbul perasaan dalam diri manusia bahawa dia adalah lemah dan berharap dan berhajat kepada sesuatu kuasa lain.

Dalam buku ini, diceritakan beberapa peringkat kejahilan manusia dalam perjalanan mencari Penciptanya.Bermula dengan peringkat yang begitu jahil manusia itu sedikit demi sedikit belajar dan memperbaiki kejahilannya itu melalui petunjuk yang dikurniakan Allah kepadanya.

Pada peringkat pertama,manusia itu jahil dan menyangka bahawa benda-benda yang dilihatnya, yang berada di sekelilingya dapat memberikan manfaat dan mendatangkan mudarat padanya. Contohnya seperti binatang buas, matahari, hujan ,sungai,gunung-ganang  dan lain-lain lagi.Lalu,disembahnya ‘benda-benda’ tersebut. 

Namun, apabila manusia itu kembali memerhatikan  sifat-sifat ‘benda’ yang mereka sembah itu ,mereka sedar bahawa ‘benda’ tersebut juga sebenarnya tidak kurang dengan sifat-sifat kehambaan. Mereka turut tunduk dan patuh pada kuasa lain. Disini, timbullah pula dalam fikiran manusia bahawa segala benda yang ada di alam ini sebenarnya melaksanakan tugasnya dan berpegang kepada suatu kuasa yang mengatur dan memiliki kekuatan.

Manusia kemudiannya mempercayai pula akan kewujudan berbilang tuhan yang mereka sangka pada setiap tuhan itu ada tugas-tugasnya yang tersendiri. Contohnya, tuhan angin , tuhan air, tuhan udara dan banyak lagi. Lalu,mulalah manusia menyembah kepada tuhan-tuhan yang pelbagai itu. Namun sekali lagi apabila melihatkan kepada betapa sempurnya pengaturan dan ketetapan-ketetapan alam ini, manusia terpaksa mengakui bahawa tidak mungkin akan ada tuhan yang berbeza-beza , kerana jika tidak pastilah berlaku perselisihan antara satu sama lain antara tuhan-tuhan tersebut. Akan ada tuhan yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan lebih penting dari tuhan yang lain. Itu sungguh tidak masuk akal!

Lalu, mengertilah manusia bahawa hanya ada satu tuhan yang Esa, yang menguasai dan mentadbir suluruh alam ini,yang pada terkumpul segala kekuasaan dan kekuatan, iaitu Allah s.w.t. Itulah hakikatnya tiada tuhan melainkan Allah s.w.t .


Kesan Aqidah tauhid bagi kehidupan manusia

Kalimah tauhid ‘LA ILAHA ILLALLAH’(Tiada tuhan melainkan Allah) ini, haruslah kita fahami sedalam-dalamnya dengan hati kerana sekiranya hanya diucapkan sahaja tanpa mengetahui maknanya, ianya tidak akan mendatangkan apa-apa kesan dalam kehidupan seseorang manusia itu.

Sekarang, mari kita sama-sama melihat implikasi aqidah tauhid ini dalam kehidupan manusia.

-Manusia yang beriman dengan kalimah tauhid ini,tidak akan mempunyai fikiran yang sempit. Bahkan ia menjadi orang yang berpandangan luas dalam apa hal sekalipun.

-Kepercayaan terhadap kalimah tauhid ini juga membantu membina kemurnian dan kemuliaan jiwa dalam diri manusia itu. Mana tidaknya, ‘iktikad mereka bahawa hanya Allah s.w.t lah yang berhak disembah telah  membuktikan kemurnian jiwa mereka.Segala pergantungannya disandarkan pada Allah s.w.t dalam menentukan kehidupannya sehari-hari.Tidak sesekali ia mengalami putus asa dan patah hati dalam setiap apa yang dilaluinya dalam kehidupan kerana ia percaya akan ketetapan dan penyusunan-penyusunan Allah s.w.t. Hanya perasaan tenang dan tenteram yang mengiringi hari-hari mereka.
Seronok bukan?!

-Manusia yang mengimani kalimah ini juga tidak akan bersifat dengan sifat-sifat yang tidak baik contohnya seperti angkuh dan takabbur. Ia takut untuk berperasaan dan berkelakuan seperti itu kerana ia sedar akan kedudukan kehambaannya. Hanya sifat tawadhu’ yang disemai dalam diri mereka.Allah mengangkat  darjat mereka dan menanamkan kebaikan-kebaikan dalam diri mereka.

-Kalimah tauhid ini juga akan mendorong manusia untuk memenuhi jiwa dan raganya dengan sifat keberanian. Manusia itu lemah keazamannya kerana dua perkara, pertama ialah kerana kecintaannya kepada diri sendiri,harta dan keluarga dan yang kedua ialah dek kerana ‘iktikadnya bahawa ada kuasa selain Allah yang boleh mematikan manusia dan berkuasa menolak kematian dari dirinya dengan sesuatu cara.

-Dan yang paling penting sekali,kalimah tauhid ini menjadikan manusia itu terikat kepada undang-undang Allah dan berusaha  memelihara undang-undang itu di atas muka bumi ini. Mereka tidak akan sewenag-wenangnya melakukan sesuatu tanpa mengambil kira pandangan dan syariat Allah.


Iman akan malaikat

Beriman kepada malaikat adalah salah satu perkara yang diajarkan baginda nabi Muhammad s.a.w. Bukanlah saja-saja aspek ini ditekankan oleh nabi Muhammad s.a.w  kepada kita. Kita semua sudah maklum bagaimana orang-orang musyrikin itu menyekutukan Allah dengan makhluk-makhluk-Nya yang lain. 

Mereka menganggap malaikat-malaikat ini adalah zuriat Allah.Oleh itu, beriman kepada malaikat,yakni percaya akan malaikat itu diajarkan baginda kepada kita tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan kalimah tauhid (La ilaha illallah) yang telah kita ‘iktikadkan itu suci  dan bersih dari segala perkara syirik dan yang sewaktu dengannya.

Siapa sebenarnya malaikat? Malaikat itu adalah makhluk Allah yang mulia,suci daripada kesalahan dan dosa,diciptakan untuk mengabdi,taat dan patuh kepada Allah . Mereka bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-Nya ,tidak sesekali mendurhakai-Nya dan tidak langsung mempunyai kuasa meskipun terhadap diri mereka sendiri. Oleh itu,sangatlah menghairankan apabila ada segelintir manusia yang bertindak menyembah dan meminta pertolongan daripada malaikat walhal di awal penciptaan manusia itu sendiri,Allah telah pun menyuruh malaikat itu bersujud kepada Adam .

Tidak banyak yang kita tahu mengenai malaikat melainkan apa yang telah diterangkan Allah s.w.t dalam al-quran dan dalam hadis-hadis yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Namun, sebagai seorang islam, kita disuruh untuk mengimani akan kewujudan malaikat berserta dengan sifat-sifatnya yang kita ketahui. Dan sememangnya tiada alasan bagi seorang muslim untuk  tidak mengimani hal ini kerana ianya dibawa dan disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w yang benar dan dibenarkan.

InsyaAllah,itu sahaja buat kali ini. Moga bermanfaat insyaAllah.

Wallahu’alam.





Penulis:
Aiman Nor Nasarudin
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment