Dec 18, 2012

Asas-asas Islam: Fasal 5


Bismillahirrahmanirrahim.

Fasal kelima
Ibadat
- makna ibadat - solat - puasa - zakat - haji – memelihara Islam -

Setelah kita memahami erti islam dan iman, kita dapat melihat bahawa iman yang benar (al-iman as-siddiq) itu akan membuahkan ketaatan (islam = menyerah diri kepada Allah dan mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya). Ikrar terhadap rukun iman telah menjadikan kita sebagai seorang mukmin tetapi keimanan kita belum sempurna tanpa memenuhi rukun islam.

Keimanan kita kepada Allah menggerakkan kita untuk mentaati perintah Allah, manakala keimanan kita kepada Rasulullah saw bermaksud kita yakin bahawa setiap perkara yang disuruh oleh Rasulullah saw datang daripada Allah, maka kita wajib mentaatinya juga. Dari sini, kita boleh muhasabah diri kita - kalau iman dan amal kita tidak sync, ada gap antara iman dan amalan seharian kita, hal ini tidak dapat tidak, menggambarkan ketidaksempurnaan dalam iman kita.

Ibadat
= Apa-apa yang kita lakukan dalam rangka ketaatan kepada Allah dan menjauhi maksiat kepadaNya.

Maksudnya.. jika aktiviti seharian dan prioriti hidup kita adalah dalam rangka ketaatan kepada Allah dan menjauhi maksiat kepadaNya, maka seluruh kehidupan kita adalah ibadat. Inilah erti ibadat yang sebenar!

Setelah kita faham erti ibadat yang sebenar, barulah kita dapat memahami hikmah di sebalik pensyariatan ibadat khusus oleh Allah kepada kita. Ibadat khusus yang diwajibkan ke atas kita oleh Allah adalah untuk mendidik kita dan mempersiapkan kita untuk menjalani hakikat hidup sebagai hamba. Ibadat khusus ni bukanlah satu pensyariatan yang suka-suki tapi ia adalah satu keperluan untuk kita menjadikan hidup kita sebagai ibadat.. macam kita diwajibkan hadir ke kelas praktikal di hospital, berjumpa dengan pesakit dan berbincang dengan doktor kerana latihan praktikal tu adalah satu keperluan untuk mempersiapkan kita sebagai seorang doktor :)

1. Solat
  • Awal-awal pagi kita bangun dari tidur dan bangkit untuk berwudhuk kerana sudah tiba waktu solat subuh dan kita wajib solat. Kemudian, kita menjalani kehidupan seperti biasa. Ketika tengah hari, tiba waktu solat zuhur, kita meninggalkan kerja kita untuk berwudhuk dan bersedia untuk solat lagi. Begitu juga untuk solat asar, maghrib dan isyak. Tengok! Allah tidak akan membiarkan kita leka dan lalai dalam kehidupan seharian kita yang kononnya sibuk ini. Pensyariatan solat pada masa-masa tertentu setiap hari adalah untuk mendidik jiwa kita bertaqwa dalam setiap perkara; mendidik kita merasakan pemerhatian Allah setiap masa; mengingatkan kita untuk mengingati Allah.
  • Selain itu, Allah memotivasikan kita untuk menunaikan solat secara berjemaah yang mana solat berjemaah itu mendidik kita untuk bersatu, tidak kira darjat, status, umur; mendidik kita bersama untuk mentaati ketua yang dipilih oleh kita di kalangan kita sendiri.
  • Tapi, kalaulah kita masih tidak dapat dididik dengan solat, bukanlah salahnya pada cara didikan Allah itu, tapi salahnya pada diri kita sendiri.
  • Dalam kes mengabaikan solat, boleh jadi ada 2 sebab - Pertama, orang itu mengingkari perintah wajib solat, dalam erti kata lain, dia mendustakan al-quran dan Rasulullah saw. Hal ini membawa maksud ikrarnya tadi adalah dusta. Kedua, orang itu mengakui solat itu merupakan satu kewajipan tetapi dia tak nak buat. Hal ini menunjukkan bahawa orang ini ialah seorang yang cakapnya tak serupa bikin; tak boleh dipercayai dalam menjaga amanah dan hak-hak kita.
2. Puasa
  • Allah telah memilih satu tempoh dalam setahun untuk kita semua berpuasa - meninggalkan makanan dan minuman yang sedap di tekak dan semua perkara lain yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
  • Semasa bulan ramadhan, kita semua berpuasa, tiada yang terkecuali. Mereka yang mengabaikan solat pada hari lain juga mungkin akan berpuasa! Sebab.. kita semua buat amal ni secara jama'i. Allah telah menyediakan biah solehah untuk kita menggerakkan kita beramal dalam bulan ramadhan. Kalau pada masa lain, kita bermalas-malasan, Allah menyediakan biah solehah untuk memotivasikan kita untuk beramal semasa bulan ramadhan. Kalau pada masa lain, kita lalai dan lupa, Allah menyariatkan satu ibadat khusus yang dilakukan secara kolektif sebagai support system untuk sentiasa mengingatkan kita kepada Allah.
  • Apabila kita berlapar semasa kita berpuasa, timbul dalam diri kita simpati dan empati terhadap manusia lain yang juga berlapar; timbul perasaan kasih sayang, persaudaraan, tolong-menolong dan kesatuan sesama kita.
3. Zakat
  • Allah berfirman: "Sesungguhnya apabila kamu memberi sedekah sesuatu kepada saudara kamu yang miskin kerana Aku dan mengharapkan wajahKu, dengan hati yang baik dan dada yang lapang, sesungguhnya kamu telah bersedekah kepadaKu, tetapi janganlah kamu mengharapkan apa-apa daripadanya, jangan kamu sakiti dia dan jangan kamu hina dia, jangan kamu mengharapkan balasan dan terima kasih daripadanya dan jangan kamu melakukannya agar manusia mengetahui sedekah itu supaya mereka menyebut-nyebutnya dan supaya mereka menunjuk-nunjuk kamu, apabila kamu tunaikan kepada orang fakir, miskin dan orang-orang yang berhajat kepada bahagian mereka yang Kutitipkan kepada kamu, kamu bersihkan hati kamu dari fikiran yang batil seperti tersebut tadi dan sangkaan yang rendah, nescaya Kuberi kepada kamu sejumlah besar harta untuk menjadi bahagian kamu, tidak kering dan tidak habis".
  • Apabila kita mengeluarkan zakat, ia mendidik kita dengan sifat mahu berkorban dan berbuat baik kerana mengharapkan keredhaan Allah. Menanggalkan dari dalam diri kita perasaan ke'aku'an, cinta diri, sempit dada dan suka pada harta benda kita.
  • Dari sisi maslahat duniawinya, pensyariatan zakat menjadikan umat muslimin tolong-menolong, maka akan tiadalah yang berlapar dan terhina - yang lapar akan diberikan haknya, yang tak mampu akan dibantu tanpa dia perlu meminta-minta, supaya mereka yang tak mampu berusaha akan mampu berusaha.
4. Haji
  • Pengabdian kepada Allah - kenapa kita sanggup meninggalkan semua perkara i.e. keluarga, pekerjaan, rumah, kereta, kucing kesayangan, dll, untuk pergi menunaikan haji kalau bukan kerana iman dan mengharapkan kasih dan redha Allah??
  • Muktamar muslimin sedunia - di sanalah, pada waktu itulah, akan terjadi pertemuan kaum muslimin, yang masing-masing datang dari seluruh pelusuk negeri, pelbagai rupa dan warna kulit yang menunjukkan kesatuan umat islam itu; kita semua adalah umat yang satu walapun dipisahkan oleh jarak dan sempadan negara.
5. Memelihara islam
  • Kewajipan terakhir yang diwajibkan ke atas kita adalah memelihara islam. Kewajipan ni tidak disenaraikan dalam rukun islam tetapi ia merupakan satu kewajipan yang telah diterangkan dan diulang-ulang dalam kitab dan sunnah.
  • Apabila kita adalah islam, islam adalah kita, bererti dalam diri kita mestilah ada perasaan pembelaan islam dan keghairah iman. Setiap penilaian kita adalah bersandarkan kepada kepentingan islam dan kaum muslimin.
  • Kita memilih sesuatu yang memberi kebaikan kepada islam seperti mana kita memilih sesuatu yang memberi kebaikan kepada kita.
  • Kita menentang musuh islam seperti mana kita memusuhi musuh kita sendiri.
  • Kita bergadai nyawa dan harta demi islam seperti mana kita sanggup mengorbankan segala perkara untuk mempertahankan diri kita sendiri.
  • Jihad dari segi bahasa bereti berhempas-pulas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
  • Maka, dalam erti yang umum, jhad di jalan Allah bermaksud usaha meninggikan kalimah Allah dengan menggunakan segala apa yang ada pada kita e.g. jiwa, masa, duit, pena, lisan, dsb.
  • Tetapi, dalam erti kata yang lebih khusus yang hendak dibincangkan dalam buku ini adalah usaha umat islam memerangi musuh islam kerana semata-mata mengharapkan redha Allah, bersih daripada sebab-sebab duniawi. Jihad ini hukumnya fardhu kifayah, tetapi jika musuh islam menyerang sesuatu negeri, jihad ini menjadi FARDHU AIN kepada umat di negeri tersebut. Jika umat negeri tersebut tidak mampu mempertahakannya, umat islam di negeri-negeri jiran untuk membantu dengan jiwa dan harta mereka. Jika bantuan tersebut masih belum mampu mempertahankan negeri umat islam yang dicerobohi oleh musuh islam tadi, maka menjadi fardhu ain kepada semua umat islam seluruh dunia untuk membantu saudara islam kita yang ditindas. Seperti mana kita berdosa melalaikan solat dan puasa, begitu jugalah kita berdosa dalam lalai membantu umat islam apabila mereka dizalimi dan negeri mereka dicerobohi oleh musuh islam.
Keimanan seseorang teruji dalam jihad. Orang yang tidak menolong Islam dan tidak berjihad bersama kaum muslimin meskipun bala dan bahaya telah sampai, diragukan keimanannya, disangsikan keislamannya. Jika demikian, faedah apakah yang diperolehnya dan puasa dan sembahyangnya?





Nurul Amira Mohd Noor
Pelajar Perubatan Tahun 5
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment