Dec 8, 2012

Kisah ini tentang aku





“ Kisah ini tentang aku, aku dan aku. Dalam hidup ini, akulah tujuan hidup aku. Sekarang, aku bahagia dengan hidup aku yang bermatlamatkan aku ini. Apa yang aku buat, apa yang aku lakukan, aku akan pastikan, aku puas hati, gembira dan rasa bangga. Sekali lagi, diri aku yang penting. HAHAHAHA!!!”

Tersenyum. Gadis itu tersenyum. Dia teringat akan kisah hidupnya yang bermatlamatkan diri sendirinya itu. Sejak kecil, dia dimanjai, dibelai oleh ibu bapanya. Segala kemahuannya, segala permintaannya dituruti. Tidak pernah di bangkang, tidak pernah dikecewakan, apatah lagi dengan kemewahan yang dilimpahi bertali arus bagai sungai yang mengalir. “Astaghfirullah, ampunkan aku Ya Allah”,bermonolog gadis itu sendirian.Setitis air mengalir dari kelopak matanya.

Teringat suatu ketika, saat yang mengubah hidupnya. Peristiwa itu berlaku baru sahaja setahun yang lalu. Ada seorang insan, Maisarah hadir dalam hidupnya. Baginya, gadis itu pelik. Sangat pelik. Bukan kerana pakaiannya yang bertudung labuh, bertutup litup yang bagi pemikirannya, “Kolot sangat la Maisarah tu!”, tapi kerana gadis itu tidak pernah berputus asa mendekatinya. Rakan-rakan lain tiada seorang pun yang mendekatinya kerana dek perangai ‘puteri’nya yang pantang dengan perkataan ‘tidak’,’tak boleh’,’tak sengaja’. Oh,pantang sekali didengari, pasti dimaki hamunnya dihadapan sesiapa pun.
Maisarah itu pun sudah berapa kali dimarahinya. Tetapi Maisarah itu tidak pernah menjauhi tetapi malah terus mendekati. Tidak berputus asa sama sekali. Disebabkan kesungguhan Maisarah itu, timbul perasaan ingin menguji gadis bertubung labuh ini. Mungkin selepas ini, Maisarah akan menjauhi. Tiada lagi kelibat yang menyesakkan diri!

Saatnya tiba. Gadis itu menunggu di sebelah pintu masuk dewan kuliah , bersedia untuk meletakkan sebelah kakinya dihadapan  Maisarah supaya  Maisarah terjatuh. Tidak cukup lagi, sebelum itu akan sengaja ditumpahkan bubur kacang di atas lantai pintu masuk itu. Rancangannya, Maisarah akan tersadung lalu terjatuh di atas bubur kacang itu. Pasti muka Maisarah ‘tertepek’ dengan bubur kacang itu dan akan membuat semua pelajar tertawa. Senyuman sinis terukir.

Rancangan bermula. Maisarah tersadung, rancangannya berjaya! Namun, tanpa diduga, Maisarah berpaut padanya saat mahu terjatuh dan kedu-duanya jatuh di atas lantai yang beralaskan bubur kacang itu. Habis muka dan baju mereka. Semua pelajar yang berada di dalam dewan terdiam seketika, namun disambung dengan gelak tawa oleh pelajar lelaki. Gadis itu malu! Malu yang teramat! Rancangannya gagal dan dipendam rasa dendam pada Maisarah. “Tak guna punya Maisarah!! Jatuhlah sendiri, nak berpaut pada aku konon. Sengaja la tu!”, jeritnya marah,geram yang teramat sangat.

Lantas gadis itu berlalu ke bilik Maisarah. Disepahkan, dicarikkan, di teraburkan seluruh barangan di bilik Maisarah. Dilemparkan buku-buku Maisarah. Dipecahkan segala botol kaca hiasan di bilik Maisarah. Dikoyaknya cadar Maisarah. Digapainya kotak-kotak di atas almari, dibuka, disepahkan segalanya. Gadia itu masih dihantui perasaan amarah dendamnya. Sampai satu ketika, tangannya cuba untuk menggapai sebuah kotak kecil yang berada di atas hujung almari. Diambilnya kerusi, lalu dipanjat untuk mencapai kotak kecil berwarna merah jambu itu. “Tak akan aku biarkan sedikit pun barangmu Maisarah berada di tempat asalnya!”, kata gadis itu dengan mimik muka sinis.

Ahah! Akhirnya, berjaya dicapai. Lalu dihempaskan ke lantai. Kotak tersebut terbuka dan terkeluar sebuah buku yang juga dibalut rapi berwarna merah jambu. Ditampal sebuah nota di atas buku tersebut, “Untuk sahabatku,Umairah Selamat Hari Jadi Sahabatku, Umairah. Bukalah dan bacalah. Kau akan ketemu cinta sejati yang abadi. Daripada Maisarah yang sentiasa menyayangimu”.

Sebelum sempat gadis itu mahu membuka helaian buku itu, Maisarah tiba biliknya. Akibat terlalu terkejut dengan keadaan bilinya, Maisarah pengsan. Kebetulan ketika itu, rakan bilik Maisarah, Alia sampai. “Maisarah!!”, jerit Alia. Alia terus memanggil rakan-rakan yang berdekatan untuk membantunya memikul Maisarah.  Seketika, terdengar bunyi ambulans. Gadis itu pun menjengah keluar tingkap, dilihat Maisarah diusung ke dalam ambulans dan dibawa pergi. Terukir senyuman sinis dibibirnya. Tiada rasa bersalah sedikit pun. Puas, terasa sangat puas. Dendamnya terhadap Maisarah terlerai. Lalu gadis itu berlalu ke biliknya sambil membawa buku merah jambu tersebut. Dia pun terlena seketika.

Malam yang hening dan sunyi. Gadis itu terbangun. Entah kenapa, terus teringat akan buku merah jambu Maisarah itu. Buku itu terus dibuka dan ayat pertama yang dibaca, “Dan kembalilah kamu kepada TuhanMu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu,kemudian kamu tidak dapat ditolong”.Hatinya sentap. Tanpa disedari, air matanya mengalir. Sambil itu, hatinya dibasahi perasaan takut ,sedih, sakit, sesal. Sesal dengan segala perbuatannya selama ini. Jauh, segalanya jauh daripada Tuhan. Bukan seperti yang dinyatakan di dalam ayat tadi. Berbisa sekali, dirinya tertampar.

Barulah kini dia sedar bahawa buku berwarna merah jambu itu sebenarnya adalah Al-Quran. Tidak pernah sebelum ini dia memegangnya apatah lagi membacanya. Hanya diletakkan di atas almari tinggi dipenjuru bilik dirumahnya. Entah apa yang terjadi dengan Al-Quran itu, dia tidak pernah ambil peduli. Digunakan sekadar untuk menjadi pelindung di rumah daripada dimasuki hantu. Itulah kata ibu bapanya mengapa perlu Al- Quran di dalam biliknya.

Tiba-tiba, gadis itu terus teringatkan Maisarah. Dia terus berlalu ke bilik Maisarah. Tiada sesiapa di situ dan gadis itu terus menghubungi Alia untuk mendapatkan kepastian tentang keadaan Maisarah. Namun tidak diangkat. Berkali-kali dicuba. Gagal. Tidak lama kemudian, satu SMS dikirim oleh Alia yang tertulis, “Assalamualaikum, Umairah. Aku tidak dapat menjawab panggilanmu kerana aku terlalu sebak. Terlalu sebak kerana Maisarah sudah pergi. Dia menghidap penyakit lemah jantung. Kali ini, dia tidak dapat bertahan. Dia berpesan suruh aku katakana padamu, dia menyayangimu dan memaafkanmu dunia dan akhirat”. Umairah terasa lemah, daripada berdiri, terduduknya terkulai layu di atas lantai. Menangis dan terus menangis. Menyesal, teramat menyesal. Jiwanya meronta, tidak dapat dikawal lagi. Di tangannya tergengam erat Al-Quran merah jambu pemberian Maisarah untuknya.

“Umairah!”,sapa Alia. Terkejut gadis itu. Tersedar daripada lamunannya yang dalam itu. “Kenapa kau menangis?”,tanya Alia sambil terus menggemgam tangan Umairah. “Aku teringat saat aku bersama Maisarah.Teruknya aku sampai menyebabkan Maisarah meninggal dunia.Sampai sekarang perasaan menyesal itu masih belum hilang”. “Umairah, hidayah Allah itu milik Allah. Dia memberikan hidayahNya kepadamu melalui peristiwamu bersama Maisarah. Hargai hidayah itu. Suburkannya dalam jiwamu. Maisarah redha dengan takdirnya disambut Ilahi ketika itu. Dia tidak sedikitpun menyalahkanmu. Tabahkanlah hatimu wahai sahabat. Sesungguhnya Allah menyayangi kita semua”,pujuk Alia. Alia menarik tangan Umairah sambil berkata, “Mari, kita baca ayat-ayat cintaNya. Dengan mengingatiNya hati kita pasti akan menjadi tenang. Dia tidak pernah memungkiri janji”. Umairah tersenyum dan menyambut ajakan Alia. Di tangannya tergengam erat sebuah buku merah jambu bernama Al-quran.

Teringat akan nota Maisarah, , “Untuk sahabatku,Umairah.Selamat Hari Jadi Sahabatku, Umairah. Bukalah dan bacalah. Kau akan ketemu cinta sejati yang abadi. Daripada Maisarah yang sentiasa menyayangimu”.Alhamdulillah, kini Umairah sudah memahami isi nota Maisarah itu. Cinta sejati, cinta yang abadi itu adalah cinta antaranya dan Ilahi. Semoga kita akan ketemu lagi Maisarah di syurga nan abadi.






Tamat.

Penulis:

Cahaya (nama pena)
Pelajar perubatan tahun 4




No comments:

Post a Comment