Dec 15, 2012

we are never alone


“Adoi, lepas satu, satu masalah timbul.”“Alah, fail lagi. Bila nak pass ni?”“Eeeee….penatlah!!! Buat ini salah, buat itu salah. Semua orang tak faham aku. Stress!!!!“Arrgghhhh!!! Buat hal la pulak laptop ni. Kalau nak rosak pun tunggu la awal bulan.”“Ish!!! Susahnya….. Malas ar… tidor lagi bagus…Zzzzz….”
Pernah dengar ayat-ayat macam ni? Ke pernah keluar daripada mulut sendiri? Kenapa ye?

Inilah kehidupan…..

Kehidupan memang tak pernah lekang daripada masalah atau lebih tepat lagi ujian. Itu lumrah hidup. Semua orang ada masalah. Tak kira muda, tua, kaya, miskin, hitam, putih, semuanya diuji dengan masalah-masalah tersendiri. Terpulanglah kepada setiap individu itu untuk menilai sesuatu ujian itu dan pendekatan manakah yang hendak diambil untuk menghadapi sesuatu ujian tersebut. 

Okay…ayat skema  :)

Baiklah. Jom kita sembang-sembang santai. Okay. Sekarang, cuba kita bayangkan kembali saat-saat kita betul-betul dalam kesusahan dan kesedihan. Saat-saat ketika banyaknya air mata kita yang jatuh membasahi bumi. Saat-saat ketika kita hampir-hampir putus asa atau mungkin sudah pun putus asa. Cuba bayangkan apa perasaan kita masa itu. Mesti kita rasa berat sangat ujian yang Allah bagi dekat kita. Kita rasa terbeban sangat. Kita rasa tak mampu untuk menghadapinya. Kita rasa kita tak cukup kuat. Mungkin ketika itu, kita terlupa ayat-ayat cinta daripada Allah. Kita terlupa tentang surat cinta yang Allah hadiahkan kepada kita. Jom kita lihat:

''Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya''(2:286)

Kalau kita betul-betul beriman dengan ayat ini, betul-betul yakin dengan janji Allah yang ini, sudah tentu kita boleh menghadapi sesuatu ujian itu dengan tenang. Sebab kita tahu kita sebenarnya cukup kuat untuk menghadapinya. Kita tahu bahawa Allah tak akan membebani kita dengan sesuatu yang kita tak mampu.






Jadi, kalau kita ditimpa dengan sesuatu ujian, yakinlah bahawa kita mampu menghadapinya. Cari kekuatan itu, kuatkan diri dan serahkan segalanya kepada Allah.
Dan yakinlah bahawa Allah tak pernah tinggal kita. Kita tak pernah berseorangan dalam menghadapi sesuatu ujian, sebabnya dalam kesusahan dan kesempitan, pertolongan Allah sentiasa mengiringi kita. 

''Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan,
Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.'' (94:5-6)

Cuba hayati ayat ini betul-betul. Dapat rasa tak seolah-olah Allah sedang memujuk kita? Allah sedang bagi semangat kepada kita. Allah nak tenangkan kita. Allah cakap di sebalik kesulitan,kepayahan dan kesusahan itu, Allah berikan kemudahan kepada kita. Malah, kemudahan yang Allah bagi melebihi kesulitan yang kita hadapi. Dua kali pulak tu Allah sebut.  Tak cukup yakin lagikah kita?
Allah sentiasa ada bersama kita. Allah sangat dekat dengan kita. Buktinya?

'' Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu(Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat.Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaku. ......''(2:186)

''Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. ''(50:16)

Kalau ada apa-apa masalah, mengadu dekat Allah. Menangis dekat Allah. Bersungguh-sunguh berdoa mohon pertolongan dan kekuatan daripada Allah. Dan yakinlah bahawa Allah tak pernah mensia-siakan doa kita. Allah tak pernah kecewakan kita. Allah sentiasa bagi yang terbaik untuk kita. Betapa sayangnya Allah kepada kita kan? Sesuai dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah.

Allah tahu je kita letih, Allah tahu je kita penat, Allah tahu je kita sedih. Allah Maha Mengetahui. Di sebalik keletihan, kepenatan dan kesedihan kita, ingatlah yang kita tak berseorangan. Kita tak pernah ditinggalkan. Kita sentiasa dalam perlindungan Allah. Di sinilah pentingnya konsep tawakal itu. Konsep kebergantungan kita kepada Allah. Yakinlah sesungguhnya Allah sangat sayangkan kita. Semua ujian dan dugaan yang Allah bagi kepada kita adalah tarbiyah(didikan) daripada Allah untuk menjadikan kita orang yang lebih baik, orang yang lebih hebat dan orang yang lebih dekat dengan-Nya.  Betapa indahnya perasaan kebergantungan kepada Allah.

'' Cukuplah Allah(menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.''(3:173)

Mari kita dengar zikir ini…insyaAllah sangat menenangkan.

Cukuplah Allah bagiku,Sebaik-baik Pelindung,Sebaik-baik Penjaga,
Sebaik-baik Penolong.

Penulis:

Pelajar perubatan tahun ke 4
Medical University of Warsaw 

No comments:

Post a Comment