Mar 31, 2013

Pertandingan Karya Kreatif 2013: Asing


"Kau gila?!" Dia tersenyum bangga, seakan-akan gila itu satu pujian tinggi yang baru diterimanya.

            Sahabatnya menggeleng kepala. "Yep, kau gila.”

            Akhirnya dia lepas ketawa.

            "Jangan risau, aku masih waras. Aku cuma punya ideologi berbeza daripada orang kebanyakan.”

            Sahabatnya melepaskan dengusan kecil pula kali ini.

            "Ideologi itu untuk dunia yang maha ideal. Be realistic. Ini realiti, kawan. Jika kau mahu bermimpi, teruskan dengan ideologimu. Namun, jika kau mahu mencapai impianmu, hiduplah sambil berpijak pada bumi yang nyata.”

            Dia mengangguk, membenarkan kata-kata sahabatnya namun senyuman bangga masih tersisip di bibirnya.

            "Aku berpijak pada bumi yang nyata, aku belum melayang terawang-awangan tanpa arah tujuan. Namun aku enggan hidup sekadar menjadi kerbau yang dicucuk hidung. Aku...mahu menjadi asing,” ayat terakhir itu dilafazkanya penuh hati-hati, seolah-olah itu satu lafaz janji terhadap diri sendiri yang baru termeterai.

            "Asing? Itu ideologimu? Kau mahu dipandang pelik oleh orang kebanyakan? Kau sanggup menjadi bahan bualan manusia yang punya mulut seluas tempayan?”

            "Kau tahu kenapa kita hidup?” soalan sahabatnya sengaja dibiar tidak berjawab, malah dibalasnya semula dengan soalan.

            Sahabatnya terdiam seketika. "Khalifah? Ibadah?”

            Dia mengangguk yakin. "Tepat. Hidup kita bukan untuk memuaskan nafsu sendiri, hidup kita untuk membakar diri; berkorban harta, masa, tenaga bahkan jiwa untuk mendapat tempat dalam kehidupan yang satu lagi.”

            Kali ini sahabatnya lebih lama terdiam, cuba memahami kata-katanya. "Bukankah itu terlalu extreme? Berkorban jiwa? Ini Malaysia kawan, ini bukan Syria, bukan Palestin!”

            "Kau fikir berkorban jiwa itu hanya dengan mengangkat senjata?”

            Sahabatnya mengerut dahi. Mengangkat kening meminta penjelasan.

            "Kita ini lilin. Kita bakar diri kita, agar islam itu bercahaya, mampu menyuluh segenap penjuru dunia. Lilin itu hanya punya dirinya untuk dipertaruhkan, lilin itu perlu mempergunakan dirinya untuk memberi suluhan. Dan kita, yang tidak perlu mengangkat senjata, tidak perlu berhadapan dengan situasi antara hidup dan mati saban hari, masih juga perlu memperuntukkan diri dan jiwa kita untuk jalan ini.”

            "Dan akhirnya lilin itu cair, tanpa sebarang manfaat yang diperolehnya...?”

            "Bukan kita yang menentukan antara manfaat dan sia-sia, antara pahala dan dosa. Kita sekadar menjalankan tugas kita. Lilin itu tugasnya membakar diri dan menyuluh kegelapan. Cairnya dia, kerana sungguh-sungguhnya dia melaksankan tugasnya. Kita pula masih khusyukkah beribadah menghadap Allah? Masih bersemangatkah menyampaikan kalimah Allah sebagai seorang khalifah? Tidakkah lebih teruk kita daripada sebatang lilin, sahabatku?”

            Sahabatnya diam lagi. "Jadi? Tidak bolehkah kita menjadi khalifah dan beribadah tanpa menjadi asing? Mengapa yakin benar kau mahu menjadi asing? Bukankah lebih senang untuk kau menjalankan tanggungjawabmu apabila kau mampu masuk dan duduk bersama-sama masyarakat?”

            "Itu benar. Tapi, kau tahu tentang hadis Ghuraba'? Islam itu datangnya dalam keadaan asing, dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu. Aku mahu menjadi sebegitu. Walaupun aku dipandang asing, asing aku adalah kerana itulah kebenaran yang aku percaya. Benar, membina hubungan dengan masyarakat itu penting, namun gembirakah kau atas hubungan yang terbina kerana dosa ataupun dusta? Itu bukan hubungan yang akan kekal lama. Bakarlah diri kita, korbankan tenaga dan jiwa kita untuk menjadi asing. Hidup kita dari mula sememangnya bukan kita punya, kita perlu menggunakan kehidupan kita sepenuhnya untuk Dia dan agama-Nya. Bukankah itu tujuan kita terpilih untuk menetap sementara di atas muka bumi ini?”

            Sahabatnya merenung jauh merentas ruang di hadapannya. "Kita terlalu biasa dengan apa yang biasa sehingga tidak langsung terlintas dalam pemikiran kita bahawa yang asing itulah yang membawa bahagia. Terima kasih sahabatku, kau berikan aku hadiah yang sangat bermakna hari ini.”

            Dia tersenyum. "Aku ada hadiah yang kalaupun tidak lebih baik, mungkin sama baik dengan ini. Mahu?”

            Dia menghulurkan al-Quran kecilnya yang dibuka luas. Ditunjukkan satu ayat yang ditanda dengan pelekat kuning.

            "Engkau (Muhammad) tidak akan mendapatkan suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapanya, anaknya, saudaranya atau keluarganya. Mereka itulah orang-orang yang dalam hatinya telah ditanamkan Allah keimanan dan Allah telah menguatkan mereka dengan pertolongan yang datand dari Dia. Lalu dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Merekalah golongan Allah. Ingatlah, sesungguhnya golongan Allah itulah yang beruntung.” -al-Mujaadilah (58) : 22

            "Masihkah kau rasa ideologiku itu ideologi orang gila yang sekadar mampu bermimpi namun tak akan dapat direalisasi?” Dia bertanya saat sahabatnya memulangkan tafsir al-Quran kecil itu kepadanya.

            Sahabatnya tersenyum, "Rasulullah juga digelar gila saat baginda mula-mula membawa ajaran islam kepada masyarakat Quraisy. Reaksi aku itu, reaksi biasa seorang manusia yang akan kau jumpa selagi mana kau kekal di jalan ini. Namun, yang gila dan yang asing itu juga adalah haq. Biarlah digelar gila, sedangkan Allah memanggil kita sebagai golongan-Nya.”

            Dia membalas senyuman sahabatnya itu. Lega. Fikrahnya sampai pada sahabat kesayangannya itu. Ya, selagi mana dia kekal di atas jalan ini, Allah menjanjikan fitnah dan mehnah yang pelbagai. Bukan kerana Allah menginginkan kesusahan, namun itulah cara Dia mentarbiyah golongan-Nya. Biarlah kita mati dalam keadaan kita masih bersemangat menjulang kalimah syahadatul haq; walaupun tidak dikenali di atas bumi, matinya kita memberi kesan pada dunia seisi. Walaupun nama kita mungkin bakal dilupakan, apa yang kita bawa akan tetap berterusan sehingga saat kemenangan yang sudah Dia janjikan.


Pemenang tempat pertama Pertandingan Karya Kreatif 2013 anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland


Penulis:
Narshiela binta Saad
Pelajar tahun 4
Medical University of Lodz, Poland

No comments:

Post a Comment