Mar 31, 2013

Pertandingan Karya Kreatif 2013: Kotak Jenis Jumud


Musab, do you know what boxes are made from?”, duga Solihin pada adik kecilnya berumur 10 tahun.
Of course, cardboard”, lantas Musab menjawab tanpa berfikir panjang.
Nope, its made from corrugated  fiber”, Solihin membetulkan adiknya.
Musab seolah-olah tidak mendengar dan terus kembali pada projeknya.

Dan aku melihat dari tepi, mereka sememangnya seperti tu. Saling suka meneka dan menduga. Memberi cabaran minda pada masing-masing. Solihin baru sahaja menjangkau 14 tahun tetapi kematangannya jauh lebih dari usianya. Luas pengetahuannya juga kadang-kadang aku sendiri kagumi. Mana tidaknya, kebanyakkan rancangan yang ditonton pada saluran Discovery, National Geography dan juga History. Dia bukan seperti anak-anak muda lain yang masih terbuai dalam kotak fikiran ala-ala kebudakkan. Fikirannya terlalu cergas untuk semua itu. Idea-idea dan informasi penting yang dia jumpai akan setia dia tulis dalam buku catatan peribadinya.

Pernah kami tanya padanya cita-citanya, sungguh terkejut kami sekeluarga akan jawapannya. Begitu yakin dia menjawap yang dia ingin menjadi seorang ulama atau menjadi orang yang akan memimpin manusia. Secara jujurnya, ayah kami, ketua keluarga kami bukanlah seorang yang terlalu alim. Malah, boleh dikatakan begitu beza dari Solihin sendiri. Solihin penyabar orangnya, tidak cepat marah, tidak cepat melatah. Ayah kami, panas barannya Tuhan saja yang tahu, mulutnya susah dikawal, jiwanya bebas, hati tuanya sudah berkarat. Bukanlah kami tidak sayangi ayah kami cuma lidahnya sudah lama tidak melafazkan bacaan Quran, sudah lama dia lupa akan huruf-hurufnya. Walaubagaimanapun, solatnya dijaga. Makan minum kami dan segala kelengkapan cukup sempurna disediakan olehnya.  Ajaran agama tetap disediakan dengan baik, Solihin dan Musab sendiri bersekolah agama khas yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Luar makin suram, dan matahari makin menghilangkan sinarnya. Ayah kami masih di hospital. Selalu saja ayah dimasukkan dalam wad. Macam-macam sakitnya, risau serta jemu bercampur. Risau akan kesihatannya, jemu kerana dia sentiasa tiada dirumah.

Ayah dan Solihin sungguh dekat dihatiku. Aku lihat pada Solihin, harapan aku melangit, sejuk hati melihat generasi muda semakin aktif dalam agamanya. Dan ketika aku melihat pada ayahku, hatiku hiba melihat generasi dahulu, sungguh alpa pada agamanya. Sudah  kami pujuknya, sudah kami nasihatkannya, tapi susah ayah kami untuk menerima perubahan. Baginya agama ini hanya terbatas pada yg rukun, pada syahadah yang pernah dilafaznya, pada solat yang dilaksanakannya, pada haji yang telah dibuatnya, pada puasa yang sentiasa ditunaikan, pada zakat yang dikeluarkannya.

Begitulah acuan Islam ala-ala barat yang ditanamkan di fikirannya. Hilang hati dan pati seorang lelaki berjiwa besar lagi berani. Hilang potensi satu generasi yang tentunya hebat. Ayah kami bukan calang-calang orang, pelajaran hebat, ilmunya luas, tapi sayang asas dan jati seorang muslim pembangkit ummah hilang. Licik sungguh penjajah barat, harapkan rupa saja putih tapi hati gelap seperti gelapnya malam.
“Sekali-kali tidak, apa yang telah mereka lakukan telah menutup hati mereka” (mutoffifin:14)

Sungguh aku kagum bagaimana Allah mencampakkan iman dan hidayah itu pada siapa-siapa yang dia kehendaki. Ayah tidak memahami kehendak dan motivasi Solihin, jauh sekali mengajarnya. Allahu Nur, Allahlah cahaya yang menghidupkan hati sesiapa yang dia kehendaki, dan sungguh iman itu tidak diwarisi oleh seorang ayah yang bertakwa.

Walau demikian, jauh di sudut hati ayah, aku tahu, ayah terlalu harapkan pada Solihin. Harapkan doanya ketika dia pergi meninggalkan kita, harapkan kebaikan pada diri Solihin, menjadi satu jariah buatnya. Mungkin ayah fikirkan nasibnya di alam kubur nanti. Sanggup dia membiayai apa sahaja keperluan untuk pemantapan ilmu agamanya anaknya.

Dan aku pohon padaMu ya Allah,
“dan ampunilah ayahku”. Teringat aku pada doa Nabi Ibrahim ini. (As-Syu’ara:86)

Deringan telefon menghentikan lamunanku. Terdengar suara Solihin sedikit cemas di talian.
Sejurus kemudian, Solihin mengajak kami ke hospital menjenguk keadaan ayah.
“Ya, Allah ampunilah kami sekeluarga. Sungguh aku ingin bersama mereka di syurga.”
                 
                                                                               *
Bukalah kotak fikiran kita wahai ummah. Hilangkan kejumudan warisan tradisi, Bangkitlah wahai ummah, seperti bangkitnya mentari setelah subuh menjelma, bangkitlah dengan penuh kefahaman dan hikmah.



Tempat ke-3, Pertandingan Karya Kreatif anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland

No comments:

Post a Comment