Mar 31, 2013

Pertandingan Karya Kreatif 2013: Impian


Dia memicingkan matanya sambil menghalakan pandangannya ke arah lilin yang diletakkan di bawah meja tempat mereka bersembunyi. Sengaja diletakkan lilin di bawah meja, risau-risau lilin tersebut bakal menarik perhatian.

Telinganya seakan-akan terdengar satu bunyi. Sayup-sayup, tetapi semakin mendekat. Dia mengalih pandangan, jauh ke depan. Tetapi nyata tiada apa yang dapat dilihatnya kerana gelap malam terlalu pekat. Tanpa bintang, tanpa bulan. Yang ada hanyalah cahaya daripada lilin yang diletakkannya di bawah meja tersebut.

Tiba-tiba matanya terbuntang, nafasnya semakin laju, jantung berdegup kencang. Adrenalin menyusup laju di dalam salur darahnya, makin melajukan lagi degup jantungnya. Baru dia tersedar, bunyi itu. Bunyi itu…

***

“Kamu ni betul-betul ke Wan? Dah fikir habis? Bukan benda kecil ni”, bertalu-talu soalan emaknya menyapa telinga.
Dia hanya mampu tersenyum. Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang dibuatnya semalaman. Malah sudah bertahun-tahun dia berusaha menyiapkan diri; menambah ilmu, meningkat daya tahan fizikal, merapatkan hubungan dengan Allah. Dan apabila dia menerima mesej email menawarkannya untuk menjejakkan kaki ke bumi barakah sebagai sukarelawan paramedik pada minggu lalu, langsung dia bersujud syukur. Tiap malamnya sepanjang minggu itu dipenuhi tahajjud dan istikharah. Tetapi sebelum membalas email tersebut, dia harus beritahu emak dahulu.

“Ya mak. Dari dulu lagi Wan dah teringin sangat nak pergi. Wan dan fikir habis dah. Istikharah pun dah. Tinggal nak minta restu mak dengan pak je. Lagi pun kejap je mak. Dua minggu je lebih kurang”, jawabnya. Ya, memang itulah impiannya sejak dia mula-mula ambil cakna perihal umat Islam seluruh dunia. Dia mahu tebus tahun-tahun yang telah dia bazirkan dalam kegelapan. Terus ingatannya singgah pada sepotong ayat dari surah al-Ahzab, maksudnya:
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun” [33:23]

Dan dia masih menunggu gilirannya.
“Pergilah Wan, kami doakan kamu di sana nanti”.

***

“Wan, cepat! Kita kena pergi”.

Dia tersentak daripada ingatannya terhadap perbualan bersama emaknya bulan lalu. “Kenapa?” tanyanya.
“Diorang naik gila. Kem sebelah dah kena serang. Nanti kita pula tu”, jelasnya sahabatnya, Hafiz, yang turut menyertai rombongan sukarelawan itu.
“Serang? Tapi…”
“Pagi tadi diorang dah bom sebelah hotel wartawan tu. Habis tak ada letrik, line putus. Licik diorang. Dah sekarang ni tak ada cerita boleh keluar. Kita pergi ikut jalan belakang sana. Kita tak boleh naik ambulans, nanti jadi target”.
“Ni barang-barang nak bawa tak?” Tanya Wan, merujuk kepada bekalan ubat-ubatan dan alatan kecemasan.
“Bawa, bawa. Kita selamatkan sebanyak mungkin. Dah reda sikit kita try pergi kem sebelah. Kalau kita tinggal pun habis dia bakar je nanti”

Mereka menyusur di sebalik blok-blok batu sisa runtuhan bangunan yang hancur semasa serangan yang lalu, masih belum berpeluang dibina semula. Mereka terus berjalan, entah berapa lama, entah berapa jauh, sehingga mereka terjumpa sebuah bangunan tinggalan yang agak tertutup. Mereka berhenti dan mengambil keputusan untuk bermalam di situ.

“Kalau gelap sangat nanti, kita pasang lilin je. Letak bawah meja. Jangan sampai diorang nampak. Esok, inshaAllah kita cari jalan pergi kem 5”, kata Hafiz.

***

“Waann! Jagaaa!”

Dia menoleh ke arah sumber suara tersebut, mencari rakannya itu. Namun tanpa sempat dia berbuat apa-apa, kedengaran satu bunyi yang sangat kuat, yang tidak dia duga. Dadanya terasa sakit. Rasa sakit bagai isinya terbakar. Dia tunduk, kelihatan bajunya basah bagai disimbah cecair panas berwarna merah.

“Wan! Wan!” Makin sayup kedengaran.

Penglihatannya perlahan-lahan menjadi kabur. Cahaya dari lilin di bawah meja itu menyilaukan matanya yang makin berat untuk dibuka. Lilin itu. Semoga lilin itu mampu menerangi kegelapan masa lalunya.

‘Hafiz, mak, pak, semoga kita bertemu di JannahNya’…



Tempat ke-2 Pertandingan Karya Kreatif anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland


Penulis:
Shahida Zahar
Pelajar Tahun 4
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment